Rabu, Disember 16, 2009

Semester Yang Bermasalah

Usai sudah semester kali ini. Cuma harapan maaf ingin diucapkan kepada para pensyarahku, En. Ridzuan Harun (minta maaf kerana tugasan yang dilakukan tidak sempurna seperti yang diharapkan) dan Pn. Susilawati (maaf juga dipinta dengan tugasan yang tidak sempurna). Tidak ketinggalan juga kepada En. A. Rahim Abdullah, minta maaf dengan tugasanku yang paling teruk pernah aku lakukan semenjak aku di sini.

Kepada Kokor, minta maaf dengan bicara dan tulisanku. Kamu meminta untuk ditegur dan aku sudah menegur. Menegur dalam tulisan. Tetapi apa yang boleh dilakukan jika teguran itu disalah anggap.

Kepada Puteri Kembangan, selamat pergi.

Kepada Puteri Kinta, selamat kembali.

Ahad, Disember 06, 2009

Angguk-angguk, Geleng-geleng

Suatu hari di Kota Ayak...

Seekor katak yang kecil lagi berpangkat bawahan lagi berjambuan mukanya telah bertanya kepada penasihat bagi kota itu iaitu Rawnari. Rawnari yang amat tertarik melihat muka pembantunya itu membenarkannya untuk berkata-kata.

"Kenapa tuan keluar daripada pemerintahan Negara Katak yang mana ketika itu diperintah oleh datuk kepada Bijannabi? Kenapa tuan ingin sangat menjatuhkan kerajaan sekarang yang diperintah oleh Bijannabi?"

Rawnari sedikit terkedu mendengar pertanyaan itu. Kemudian dia melempar senyuman kepada pembantunya itu dan merapati pembantunya.

"Saya tidak suka dengan cara pemerintahan yang lama iaitu datuk kepada Bijannabi."

"Tapi kenapa?"

"Kerana dia membodohkan masyarakat katak seluruhnya." Jawab Rawnari.

"Membodohkan masyarakat?"

"Ya, membodohkan masyarakat dengan ideanya."

"Apa ideanya?"

"Rela jadi tunggul dan rela jadi patung kepada pemimpin. Angguk bila pemimpin kata angguk dan geleng bila pemimpin kata geleng. Pujilah aku dan ampulah aku, pasti senang hidupmu". Jelas Rawnari.

Pembantunya itu terkejut mendengar penjelasan Dato' Rawnari. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Dia juga menyatakan kalau ada tangan tadah dan sesiapa yang ada maruah sila campak ke tepi," tambah Rawnari lagi.

Semakin terkejut pembantunya itu mendengarnya. Dia tidak menyangka sampai ke situ idea yang dibawa oleh pemerintahan negara Katak yang lalu. Rawnari yang semakin ghairah melihat muka pebantunya tiba-tiba memeluk pembantunya itu.

"Eh... eh... Dato'... kenapa ni?"

"Mari masuk bilik saya."

Rawnari terus membawa pembantunya itu masuk ke dalam biliknya. Pembantunya tidak dapat berkata apa-apa. Pembantunya itu hanya mengangguk sahaja apa yang diinginkan oleh ketuanya, Rawnari.

Khamis, Disember 03, 2009

Jangan Menghukum Atau Menuduh...

Kepada pembaca blog ini. Tolong membaca segala tulisan dengan berfikiran terbuka. Jangan menuduh atau menghukum seseorang setelah membaca blog ini. Adakalanya, tulisan dalam blog ini hanyalah rekaan semata-mata...


* Tolong baca dengan teliti sebelum menuduh...

Selasa, Disember 01, 2009

Surat Kepada Kakak

Kakak,

Maafkan adikmu ini jika mengguris hatimu dengan jawapanku yang sebegitu. Bukan maksudku begitu.

Aku tahu harapanmu yang menggunung apabila menatap surat jawapanku. Namun apakan dayaku. Adikmu ini, manusia biasa bukannya malaikat. Ada masa sihat dan ada masanya sakit. Jawapan suratku itu, aku tulis ketika dalam kondisi badanku yang tidak keruan. Entah mengapa otakku tidak berfungsi sangat ketika itu. Tetapi seperti ku katakan, aku manusia biasa. Walaupun aku cuba melawan kondisi badanku, namun, aku tidak berjaya. Mungkin aku berjaya untuk melawan kondisi badanku di depan kawan-kawanku, namun, ketika hendak menulis surat jawapan itu, aku tidak mampu untuk melawannya.

Kakak,

Aku tidak pernah menyesal dengan surat jawapanku itu. Biarlah surat jawapan itu menjadi kenangan. Aku tahu memang salahku kerana menulis surat jawapan itu dalam minit-minit terakhir sebelum aku poskan kepadamu. Aku pasrah dengan semua itu tetapi yang menjadi permasalahannya, kenapa jawapan itu diperbetulkan oleh anak-anakmu?

Aku sebagai adik, tidak menyenangi akan hal itu. Biarlah jawapan suratku itu salah. Namun aku tidak bersetuju dengan anak-anakmu yang membetulkan surat jawapan itu. Patutkah kau membiarkan mereka membetulkan surat jawapanku itu? Aku tahu, sebagai seorang kakak kau kasihan melihat adikmu ini tetapi adalah lebih baik kalau tidak menjerumuskan adikmu ini ke satu lembah yang tidak berpenghuni, kosong, ya... kosong dengan kebodohan adikmu ini.

Kakak,

Aku tahu kau membiarkan anak-anakmu itu membetulkan jawapan surat itu ada sebabnya. Tetapi adakah harus membiarkannya berlaku? Sebagai adik, tidak sepatutnya aku mempersoalkan benda ini, namun aku cuma menyatakan pendapatku.

Kakak... maafkan adikmu ini jika aku mempersoalkan tindakkan anak-anakmu itu. Maafkan juga adikmu ini jika mempersoalkan ketidaktegasanmu terhadap anak-anakmu. Kakak, sebagai seorang adik, aku ingin memohon maaf mengenai tulisan surat ini.

Kakak,

Maafkan adikmu ini. Janganlah kerana surat ini, kakak bermasam muka denganku. Kalau ada keinginan kakak menyuarakan pendapat kakak, silakan, saya sedia mendengarnya. Di akhir tulisan ini, lagi sekali saya ingin menyusun sepuluh jari, tolong maafkan adikmu ini jika surat ini benar-benar membuat hati kakak terluka. Tiada maksudku untuk melukakan hati kakak. Cuma ingin menyampaikan maksud hati yang tersimpan.

Ucapan maaf lagi sekali kepada kakakku yang senantiasa membantu ketika adikmu ini dalam kesusahan.


Yang benar,

adikmu yang resah

Delusi

Semakin cahaya itu
menerangi lorong hitamku
semakin juga hitam itu
menggelapi lorongku

Semakin dekat
sinar yang kucari
semakin dekat
kegelapan itu mendekati

Semakin aku mampir
semakin aku keliru
di mana sebenarnya aku?

Ahad, November 29, 2009

Kota Ayak Mengejutkan Negara Katak

Suatu hari di negara Katak...

Pemerintah negara Katak ketika itu, Bijannabi, seekor pemerintah yang berbadan gemuk dan besar terkejut dengan kenyataan dari pemerintah kota Ayak, salah sebuah kota di negara Katak.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemerintah Kota Ayak ialah ingin melantik Rawnari sebagai penasihatnya. Rawnari sebenarnya ialah bekas penasihat kepada pemerintah negara Katak sebelum Bijannabi menjadi pemerintah iaitu datuknya sendiri.

Kota Ayak merupakan salah satu kota yang bukan dalam pemerintahan Bijannabi kerana kota itu dipenuhi dengan para pemberontak yang ingin menjatuhkan empayarnya. Dengan Rawnari sebagai penasihat bagi Kota Ayak maka keselamatan dalam negara semakin tergugat.

Bijannabi terpaksa memantau dan mengarahkan seluruh tenteranya supaya berjaga-jaga dengan pemberontak yang ada di Kota Ayak. Bijannabi juga terpaksa turun padang dalam memantau keadaan di Kota Ayak kerana Bijannabi risau akan kepandaian ilmu yang dimiliki oleh Rawnari - ilmu pemikat.

Ilmu pemikat yang dimiliki oleh Rawnari sudah cukup banyak menyusahkan empayarnya sebelum ini. Kerana ilmu pemikat itu juga, beberapa kota di negara Katak telah ditawannya.

Jumaat, November 27, 2009

DAP

Suatu hari di kedai kopi...

Karim : Woi! Hassan... kenapa kau pergi masuk geng-geng DAP?

Hassan : Kau dah kenapa... suka hati aku la nak masuk geng yang mana satu pun...

Karim : Bukankah kita sudah sama-sama berjanji untuk tidak masuk geng-geng DAP. Bukankah geng-geng DAP itu berbangsa cina?

Hassan : Apa yang kau merepek hah... DAP mana yang kau maksudkan... DAP yang aku sertai ialah geng-geng Di Alam Percintaan... bukannya DAP, Democratic Action Party... bangang...

Karim : Oooo... minta maaf...

Hassan : Lain kali selidik dulu... jangan terus melatah...

Ahad, November 22, 2009

Evolusi

Sudah resmi tenuk
seekor binatang yang pemalu

Sudah resmi tenuk
akan lari bila didekati

Suatu hari, seekor tenuk
tidak lari didekati

Suatu hari, seekor tenuk
berani mengejar musuhnya bila didekati

Suatu hari, seekor tenuk
sudah pandai bermakian

Suatu hari, seekor tenuk
depannya tenuk
belakangnya babi.

Isnin, November 16, 2009

Semangat Yang Hilang

Awal tahun itu, satu berita yang tidak mahu aku dengari akhirnya sampai juga ke telingaku. Aku mengharapkan berita itu hanya satu dongengan mimpiku yang beberapa kali aku mimpi mengenainya. Namun berita itu adalah benar dan tidak mungkin dapat untuk aku menghalangnya.

Kini setelah sekian lama, aku merasakan semangatku semakin jauh daripadaku. Aku seperti bukan aku yang sebenarnya. Bila bercakap, entah apa yang dibicarakan olehku sendiri pun, aku tak pasti. Aku sedar semua itu, tetapi apa yang boleh aku buat? Sinarnya semakin jauh daripada aku.

Dahulu sinarnyalah yang sering membangkitkan semangatku. Kini, kerjaku banyak yang tertangguh hanya kerana semangat yang semakin jauh. Ya! Semangat yang semakin jauh daripadaku. Semangat itulah yang membodohkan diriku walaupun aku tahu yang membodohkan diriku adalah diri aku sendiri. Kerana terlalu asyik menanti air yang hanyut, aku terus lupa akan kehidupanku.

Kerana semangat yang semakin jauh, perbuatanku sendiri semakin jauh dengan bicaraku. Tetapi seorang penyair pernah berkata "adakah bercakap di atas jambatan sama dengan bercakap di bawah jambatan?" Kata-kata itu sahaja yang aku pegang walaupun, kawan-kawan di sekeliling aku sering merungut mengenai diriku.

Dahulu semangatku selalu berkobar-kobar kerana sinarnya. Tetapi kini, sinarnya semakin jauh dan semangatku turut jua pergi. Seperti kelekatu ingin terbang ke langit, aku tunggu semangat itu dapat mengikuti sinarnya yang hilang. Namun apa yang kulihat, hanyalah sia-sia.

Kini, aku cuba mencari semula semangatku yang semakin jauh daripadaku.




Mentera Memanggil Semangat

Bismillahhirrahmanirrahim.
(Mengucap).
Innalilla hiwainna ilaihiraji'un.

Hai semangat dari gunung Ledang
datanglah kepadaku
janganlah engkau menjauh dariku
wahai semangat.

Hai semangat dari gunung Bintang
selusurilah engkau dari gunung bintang
mengalirlah engkau dari sungai Perak
singgahlah engkau di sungai Kinta
jika berjaya
Wahai semangat.

Hai pawana dari bukit Siguntang
bawalah semangat dari gunung Ledang
bawalah semangat dari gunung Bintang
biar mereka berdamping denganku.

Hai semangat dari gunung Ledang
Hai semangat dari gunung Bintang
datanglah kepadaku
tinggalkan sinar yang dikejar
sebatilah semula denganku
wahai semangat.

Hai semangat
bersatulah engkau denganku
dengan berkat kata
Lailahaillallah Muhammadur Rasullullah.

Sabtu, November 14, 2009

Surat Kepada Tuan Haji

Tuan Haji,

Tujuan saya menulis surat ini hanyalah sekadar mahu menyelesaikan masalah antara kita berdua. Saya tahu, selama ini saya banyak menyindir dan mengutuk tuan haji. Tetapi, itu semua kerana saya tidak menyukai pemikiran yang tuan haji bawa. Sebelum saya mengenali tuan haji, banyak ceramah-ceramah tuan haji yang saya ikuti dan saya mengakui bahawa saya suka mendengar ceramah-ceramah yang disampaikan oleh tuan haji.

Tetapi setelah mengetahui ada peyimpangan pemikiran yang cuba tuan haji bawa dalam ceramah-ceramah tuan haji, saya mula kurang senang dengan tuan haji. Mulai saat itulah saya mula mengutuk dan menyindir tuan haji daripada belakang. Sehinggakan kawan-kawan saya sendiri tidak menyukai cara pemikiran tuan haji.

Lumrah manusia, suka mengikut sahaja apa yang diperkatakan orang dan saya juga salah seorang daripadanya. Seperti saya katakan sebelum ini, saya mula mengutuk tuan haji daripada belakang apabila mengetahui ada penyimpangan pemikiran yang di bawa oleh tuan haji. Itupun saya tahu daripada orang lain dan saya pun terikut-ikut dengan orang itu membenci tuan haji. Walaupun begitu, saya tetap masih mengikuti ceramah-ceramah tuan haji walaupun pemikiran yang cuba tuan haji bawa itu tidak saya setuju. Ini kerana, ceramah-ceramah tuan haji amat segar pada pandangan saya.

Setelah beberapa lama, saya mula mengenali tuan haji. Semakin lama semakin saya rasakan bahawa saya sudah tersalah tafsir akan pemikiran tuan haji. Mungkin kerana terlalu ikut sahaja apa yang diperkatakan orang maka selama ini saya asyik mengutk tuan haji. Sebenarnya di sini saya ingin memalumkan kepada tuan haji bahawa saya sudah mengikuti perkembangan autobiografi tuan haji di surat khabar. Daripada situ saya mula menerima apa yang cuba tuan haji sampaikan.

Manusia mana yang tidak buat silap dan saya mengaku akan kekhilafan saya dalam mentafsir tuan haji yang bukan-bukan. Di sini saya ingin memohon maaf kepada tuan haji akan kekhilafan saya selama ini. Walaupun saya tahu, akan ada kawan-kawan saya yang akan menyindir saya kerana permintaan maaf ini, namun saya tidak kisah dengan semua itu. Ini kerana mereka masih tidak mengerti akan pemikiran tuan haji. Seperkara lagi, walaupun saya meminta maaf atas kekhilafan saya, ini tidak bermaksud bahawa saya bersetuju dengan pemikiran yang tuan haji cuba sampaikan. Saya tetap tidak bersetuju dengan pemikiran tuan haji cuma saya menghormati pemikiran tuan haji yang cuba tuan haji sampaikan kepada masyarakat. Biarlah masyarakat yang menilai akan buruk baiknya pemikiran yang cuba tuan haji sampaikan.


Salam.


Yang benar,

pemuda khilaf...

Jumaat, November 13, 2009

Harimau, Geroda, Ular dan Tenuk

Suatu hari di hutan antah berantah...

Harimau dan Geroda tengah bergaduh di suatu kawasan lapang. Pertarungan begitu sengit sehingga gegaran pertarungan itu boleh dirasakan sehingga satu hari perjalanan. Bila mendengar sahaja pertarungan yang berlaku di antara Harimau dan Geroda, Tenuk terus datang meleraikan pergaduhan itu. Ular yang ada berdekatan terkejut dengan kehadiran Tenuk.

"Kenapa ni, apa masalah kamu berdua?"

"Dia yang mulakan dulu." Kata Harimau.

Tenuk memandang Geroda dan Geroda menggelengkan kepala.

"Bukan saya yang mulakan dulu. Semua ini berpunca dari dia," Geroda menuding ke arah Ular.

Ular menjadi serba salah. Tiada apa yang dapat diungkapkannya. Tenuk memandang Ular dan kemudian memandang semula Geroda.

"Apa maksud kamu, Geroda?"

"Ular mengatakan yang saya mengutuk Harimau dan kerana itu Harimau marah kepada saya. Harimau marah sebab saya sejak akhir-akhir ini mula memujinya tetapi dalam masa yang sama saya mengutuk dia dari belakang. Saya mengaku yang saya mengutuknya tetapi saya juga memujinya. Saya mengutuknya dari segi panas barannya yang tidak tentu tempat sementara saya memujinya dari segi kelantangannya membantah pendapat raja kita Gajah kerana saya sependapat dengannya dalam hal itu."

"Hanya kerana itu kamu berdua bergaduh?" Balas Tenuk.

"Maafkan saya... saya tidak tahu itu maksud Si Geroda. Mungkin sebab saya tidak dapat menahan panas baran saya jadi saya menyerang Si Geroda. Maafkan saya. Ini semua kerana saya termakan dengan kata-kata Ular." Bicara Harimau pula.

Tenuk memandang Ular dan dalam ketakutan Ular melarikan diri. Tenuk hanya menggelengkan kepalanya. Kerana fikiran Si Ular yang tidak tahu mentafsir dan lidahnya yang busuk, telah menyebabkan Harimau dan Geroda bergaduh.

Khamis, November 12, 2009

Merepek...

Maaf...
Jika bahasa ini kasar.

Suka hati kamu semualah nak cakap apa
aku sudah malas nak layan
sebabnya kamu semua pun tak betul
aku memang tak betul
apasal nak ikut aku

Aku tak pernah cakap
kamu semua yang cakap
aku ada sebut perkara itu
tapi ada batasnya

Kamu semua nak cakap pasal aku
kamu semua betul ke?
Kamu semua cakap
aku cakap tak sama dengan perbuatan
habis kamu semua tu, sama ke?
antara bicara dan perbuatan

Aku masih ingat apa yang aku cakap
dan memang ada masanya tidak akan
sama dengan perbuatan.
Ada sebabnya.

Kamu semua ingat ke
apa yang kamu semua cakap?
Kalau ingat kenapa mesti nak
belasah orang?

Aku memang tak baik
sebab tu aku belasah orang
tapi kamu semua kan baik
kenapa nak belasah orang?

aku memang macam kucing
ada masanya makan taiknya balik
tapi kucing tu makan ada sebab
tapi kamu semua aku tak tau la...
sebabnya kamu semua kan manusia.

Isnin, November 02, 2009

Bila Mulut Berbicara

Rasanya sudah terlalu banyak mulut ini berbicara di luar. Sehingga sekarang aku masih memikirkan, haruskah aku berhenti daripada berbicara. Ini kerana dapat kurasakan bicaraku sering menyakiti hati mereka. Tetapi mereka juga sering menyakiti hatiku. Cuma aku tidak pernah menunjukan perasaanku itu kepada sesiapa. Tapi kini, sudah tiba untuk aku tidak lagi berbicara seperti dahulu. Kepada mereka, aku harapkan segala bicaraku yang menyakitkan hati, harap dimaafkan. Cuma satu sahaja yang ingin kupesan, kalau nak marah, fikirlah dahulu diri sendiri. Adakah kita pernah buat orang marah dengan bicara kita?

Anak Ketujuh

Maafkan jika kata-kata ini
menyinggung perasaanmu, bonda
bukan maksudku begitu

Sudah ribuan dasawarsa lamanya
kau menyusui, mendidik anak-anakmu
sehingga menjadi sebuah bangsa yang disegani

Tapi kini
anak-anakmu yang mahu mengubahnya

152 pusaka yang kau turunkan
kepada mereka
semakin hari semakin dicemari
oleh mereka
kerana ditaksakan dengan bahasa
si lelaki yang menodaimu

Tiada kata yang boleh diucap
cuma harapan
anakmu yang ketujuh
mampu mengambalikan semula
maruahmu yang hilang


BTN, 30hb. Oktober 2009

Aku Seekor Tenuk

Aku hanyalah seekor tenuk
memelihara jati diri ketenukanku

Aku hanyalah seekor tenuk
sanggup menggadai nyawa
jika harga ketenukan aku dicemari

Suatu hari, seekor tapir menegur
mencalarkan harga ketenukanku
dan peristiwa berdarah itupun berlaku

Ketika itu, dia cuba kubunuh
dan seekor tenuk tua
meredakan amarahku
dengan dasar yang seimbang

Setelah berkurun lama kehidupan ini
anak tenuk tua itu merayu:
"terimalah persamaan kita,
lemparkan perbezaan yang mengikat"


BTN, 30hb. Oktober 2009

Jumaat, Oktober 30, 2009

Danau Toba Adalah Laut Khaldun?

Pasti para pengkaji sastera hikayat tertanya-tanya di manakah laut Khaldun berada? Dalam beberapa peristiwa seperti peristiwa Sang Gedembai dan Burung Geroda, mereka berdua telah bertemu dengan Nabi Sulaiman dan atas sebab-sebab tertentu mereka telah membuang diri ke laut Khaldun dan tinggal di situ selama-lamanya. Yang menjadi persoalan para pengkaji sastera lama ialah di mana laut Khaldun itu berada?

Seorang pengkaji sastera lama yang terkenal, Prof. Zulharnuddin Qafi, kajian terbaru yang didapati bersama teman-temannya, laut Khaldun yang sering menjadi pertanyaan para pengkaji sastera lama kemungkinan letaknya di Danau Toba. Kajian ini mungkin mengejutkan ramai pihak namun kajian ini masih lagi di peringkat awal.

Menurut Prof. Zulharnuddin lagi, mereka terpaksa mengkaji keadaan geogafi Danau Toba sejak zaman prasejarah lagi. Ini kerana, mereka ingin memastikan adakah benar Danau Toba sebelum ini adalah laut? Menurut Prof. Zulharnuddin lagi, mereka meramal bahawa Danau Toba itu suatu masa dahulu merupakan laut Khaldun kerana mereka tertarik dengan pendapat beberapa orang pengamal spiritual di mana mereka menyatakan bahawa burung Geroda masih hidup cuma tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bukan itu sahaja, menurut beberapa pengamal spiritual itu, mereka menyatakan burung Geroda itu sekarang berada di Danau Toba dan tidak keluar ke mana-mana selain hanya di pulau itu.

Prof. Zulharnuddin juga menyatakan, sesiapa sahaja pengkaji sastera lama yang ingin turut serta dalam kajian ini amat dialu-alukan oleh beliau.

Ahad, Oktober 25, 2009

Hipokritisme Di Sebalik Keruntuhan Kerajaan Tanah Segara Masin

Baru-baru ini, satu seminar telah diadakan di Hotel Pan Pasific, Johor Bahru. Seminar kali ini ialah perbincangan mengenai Hikayat Tanah Segara Masin yang dianjurkan oleh Persatuan Tingkatan Enam (PERTINA) Johor Bahru. Seminar yang bermula dari pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 5.30 petang ini telah membincangkan sebanyak sembilan tajuk oleh sembilan orang pembentang.

Apa yang paling menarik untuk dikongsi di sini ialah kertas kerja yang dibentangkan oleh Prof. Zulharnuddin Qafi mengenai Hipokritisme Di Sebalik Keruntuhan Kerajaan Tanah Segara Masin. Dalam kertas kerjanya, Prof. Zulharnuddin telah menyatakan mengenai penyakit hipokritisme yang ada di kalangan para pembesar kerajaan Tanah Segara Masin merupakan punca kepada kejatuhan kerajaan yang diperintah oleh Raja Asa Gura Sakti.

Menurut Prof. Zulharnuddin lagi, kerana hipokritisme yang ada di kalangan para pembesar, ianya sukar bagi Raja Asa Gura Sakti untuk menentukan kedudukan para pembesarnya. Apabila ini terjadi, Raja Asa Gura Sakti yang masih mentah dalam menjalankan urusan kerajaan telah menyalahletakkan peranan para pembesarnya dalam mentadbir kerajaan Tanah Segara Masin. Maka, dengan peranan pembesar yang tidak betul ini, kecekapan dalam urusan kerajaan menjadi lembab. Bukan itu sahaja malah sikap kejujuran juga tidak ada semasa menjalankan kewajipan mereka sebagai pembesar.

Selain itu, ada sesuatu yang menarik yang disampaikan oleh Prof. Zulharnuddin sebelum dia menutup pembentangan kertas kerjanya bagi memberi laluan kepada pembentang seterusnya iaitu mengenai kajiannya tentang keris Taming Sapurba yang hilang di tangan Raja Asa Gura Sakti. Keris Taming Sapurba ialah keris turun-temurun semenjak dari pemerintah moyangnya di kerajaan Pura Tanah Hujung di mana keris ini merupakan lambang kepada perpaduan bagi kerajaan Tanah Segara Masin. Mengikut kajian terbaru yang dibuat oleh Prof. Zulharnuddin ialah keris Taming Sapurba dan Keris Taming Sari adalah sama? Menurutnya, ini semua masih diperingkat kajian tetapi kemungkinan besar ianya adalah sama.

Selain Prof. Zulharnuddin, turut membentangkan kertas kerja dalam Seminar Hikayat Tanah Segara Masin ialah Prof. Khalid Kassim, Zulhilmi Arif, Dato' Dr. Mukhriz Ibrahim, Cikgu Aziz Mastam, Prof. Rosnah Mansur, Rusli Abd. Rahim, Nur Zakiah Rahman dan Prof. Zakie bin Yaakob.

Diharapkan pihak PERTINA Johor Bahru dapat menganjurkan lagi seminar seperti ini agar dapat menambahkan ilmu pengetahuan di kalangan murid-murid kerana masih banyak lagi buku-buku hikayat yang masih boleh dibincangkan selain Hikayat Tanah Segara Masin.

Sabtu, Oktober 24, 2009

Kisah Tiga Orang Manusia

MANUSIA I

Dia datang tanpa aku sedari dan untuk beberapa waktu, hari dan ketika. Dia senantiasa berada di sisiku. Namun seperti aku katakan, aku tidak sedar akan kehadirannya.

Aku ke kanan... dia ke kanan.
Aku ke kiri... dia ke kiri.
Aku berjalan... dia pun berjalan.
Aku berlari... dia pun berlari.
Dan semakin hari, semakin kerusakan kehadirannya.

Satu hari, dia memperlihatkan wajahnya. Dengan rupa yang sungguh menakutkan dia menghampiriku dan berkata...

"Bersiap-sedialah... masamu sudah tiba."

Dan aku...



MANUSIA II

Untuk beberapa hari ini, ada seseorang memerhatikan aku. Aku tidak mengenalinya tetapi dia mengenaliku. Setiap kali berjumpa, dia akan menegurku,

"Kita semakin dekat..."

Satu hari, aku menegurnya dahulu.

"Kenapa kita semakin dekat?"

Dia hanya tersenyum dan tanpa berkata-kata, dia berlalu pergi meninggalkan aku yang dalam pertanyaan.

Setelah pertemuan itu, aku tidak berjumpa dengannya untuk beberapa hari. Sehinggalah aku terlantar sakit. Dia tiba-tiba datang menziarahiku. Sungguh berseri mukanya dan dengan senyuman dia berkata.

"Hari ini... hari inilah masanya..."

Dan aku...



MANUSIA III

Ketika itu aku berjalan-jalan seorang diri di bandaraya Kuala Lumpur. Sambil aku berjalan memerhati keadaan sekitar bandaraya, sambil itu juga aku memikirkan masalah yang sedang aku hadapi. Tanpaku sedari, ada mata mengekoriku. Apabila kusedari, dia hanya tersenyum memandangku dan aku, seperti dia, ikut tersenyum.

Tiba-tiba dia merapati aku dan menegurku supaya tidak usah memikirkan lagi masalah yang membelengu diriku. Aku sedikit terkejut dengan tegurannya. Ini kerana, dari mana dia tahu yang aku sedang menghadapi masalah.

"Kenapa?" Hanya perkataan itu sahaja yang mampu aku keluarkan.

Dan jawapannya sungguh memeranjatkan aku apabila dia mengatakan bahawa masalah aku akan selesai tidak lama lagi. Suasana sepi seketika. Bunyi suara masyarakat yang ada di sekelilingku dan bunyi deruman motor serta kereta tidak kedengaran di gegendang telingaku. Hanya jawapan si dia sahaja yang aku dengar untuk beberapa kali.

Apabila aku sedar dari khayalanku, dia sudah tiada di depanku. Aku lalu meneruskan perjalananku. Ketika aku ingin melintas jalan, tanpa kusedari, ada sebuah kereta yang bergerak laju lalu melanggarku. Aku terpelanting jauh. Ketika itulah aku terlihat dia yang menegurku. Dan ketika itu, baru aku sedari maksudnya kenapa masala aku akan selesai tidak lama lagi...

Jumaat, Oktober 23, 2009

Kenangan Kepada Mukhsin

Entah mengapa, petang-petang begini aku teringat kepada kawanku, Mukhsin. Kami berkawan semenjak kami masuk ke Angkatan Setia Kulim, sepuluh tahun yang lalu. Semasa di sinilah kami sama-sama berjuang menuntut pelbagai jenis ilmu terutamanya ilmu akhirat. Angkatan Setia Kulim merupakan sebuah angkatan yang dianggotai oleh pelbagai golongan yang setia kepada negara dan nama Kulim diambil kerana ianya berpusat di Kulim, Kedah.

Sudah lama aku tidak berjumpa dengannya semenjak krisis yang berlaku antara kami empat tahun yang lalu. Selepas krisis yang berlaku antara kami, aku seperti sudah hilang tempat untuk berbicara. Aku mengaku, walaupun aku tidak berapa suka dengan kelantangan mulutnya berbicara tetapi aku suka dengan caranya, jujur meluahkan pendapatnya. Memang aku selalu bergaduh dengannya tetapi bergaduh kami hanyalah dari segi pendapat.

Ya! Bergaduh kami kerana pendapat dan kerana pendapat itulah krisis empat tahun lalu berlaku. Kerana berbeza pendapat jugalah kami kurang berinteraksi sehingga sekarang. Aku sendiri tidak pasti siapa yang bersalah dalam hal ini. Cuma yang aku ingat ketika itu, aku terasa hati dengan kata-katanya. Aku rasa, kalau sesiapa di tempat aku pun pasti akan terasa dengan kata-katanya.

Kata-katanya sehingga sekarang masih bermain dalam fikiranku...

Pada hari itu, entah kenapa cara Mukhsin meluahkan pendapatnya seperti tidak berfikir seperti selalu. Dia bertanyakan pendapat aku mengenai konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia. Semasa dia bertanya soalan itu kepada aku, aku masih kurang arif dengan perkara itu. Jadi aku berkata kepadanya aku tidak pasti dan aku serba boleh tidak mahu memberikan pendapatku tetapi seperti yang kukatakan, entah mengapa pada hari itu, dia seperti seorang yang hilang kewarasan. Dia mengutuk aku sehingga aku benar-benar terasa. Memang itu yang selalu berlaku apabila kami berbicara di mana dia sering menjatuhkan keegoanku tetapi aku jarang terasa dengan kata-katanya. Tetapi untuk kali ini, di mana silapnya aku sendiri kurang pasti dan aku tidak dapat menahan rasa amarahku.

"Kau kenapa... kenapa hari ini kau tidak berani mengeluarkan pendapat? Selalunya kau berani dalam mengeluarkan pendapat kau. Kau lebih dulu makan garam daripada aku dan semestinya kau boleh untuk mengeluarkan pendapat kau mengenai konfrantasi yang berlaku. Tetapi kenapa kau takut hari ini untuk mengeluarkan pendapat kau? Tak guna kalau kau belajar tinggi-tinggi dan menelaah bermacam-macam jenis buku tetapi kau tidak berani mengeluarkan pendapat kau."

Ketika itu, aku sedikit tersentak dengan perkataan yang keluar dari mulutnya. Ketika itu mata kami bertentangan dengan cukup lama.
'
"Aku minta maaf, Mukhsin. Aku ni bodoh."

"Bukan bodoh tapi bahlul... tak mengapalah, aku sebenarnya saja nak menguji kau. Harap sahaja belajar tinggi-tinggi tapi tak berani mengeluarkan pendapat dan aku juga ada pendapat aku sendiri mengenai konfrantasi itu."

Kemudian dia beredar meninggalkan aku yang dalam kebingungan. Beberapa hari kemudian baru aku sedar yang dia harus mengemukakan pendapatnya itu di depan Presiden Angkatan Setia Kulim bagi melayakkan dirinya berada dalam Persidangan Besar yang akan diadakan pada tahun berikutnya. Namun apa yang aku dengar daripada kawan-kawan yang lain, pendapat Mukhsin itu telah disanggah oleh Presiden dan dia terpaksa membuat suatu pendapat baru yang tidak boleh disanggah oleh orang lain. Dan dari tarikh tersebut, aku sudah jarang berbicara dengannya. Kalau adapun setakat berbual kosong ketika bertemu dalam perjumpaan antara anggota.

Kepada Mukhsin, aku masih inginkan zaman kita berdebat mengeluarkan pendapat masing-masing. Terutamanya kejujuranmu dalam mengeluarkan pendapatmu yang kononnya sudah dipupuk oleh ibumu sejak kecil lagi.

Khamis, Oktober 15, 2009

Adikku, Cikgu dan Dinasor

Suatu hari, pada malam yang dingin...

Terdengar telefon bimbit adikku berbunyi. Aku memandangnya. Dia hanya tersenyum memandangku. Aku mengangkat keningku kepadanya dan dia hanya mengangkat tangan tanda sabar.

"Kenapa tak angkat telefon tu?"

"Message je."

Aku hanya menganggukkan kepala sahaja mendengar jawapannya. Selepas itu dia bangun dari kerusinya dan melihat pesanan yang dihantar. Tiba-tiba adikku ketawa memecahkan keheningan malam. Aku memandangnya sekali lagi dan apabila melihat sahaja riak mukaku, dia berjalan menghampiriku lalu menunjukan pesanan yang dihantar oleh cikgunya.

"Jangan lupa suruh kawan-kawan datang pada esok hari. Ada pertandingan melawan catur peringkat kelas. Jangan lupa suruh mereka datang menyokong untuk kelas. Jangan jadi DINASOR pula..."

Setelah membaca pesanan itu, aku memandang adikku dengan tanda kurang mengerti maksud pesanan cikgunya itu. Kemudian dia menunjukan pesanan yang terbaru dia dapat.

"Betullah... DINASOR... tahu-tahu PUPUS..."

Aku memandang adikku sekali lagi setelah membaca pesanan cikgunya dan seperti adikku, aku juga turut ketawa memecahkan keheningan malam.




* Cerita ini tiada kena-mengena dengan yang hidup ataupun yang sudah meninggal. Kepada pembaca yang sering membaca entri ini, jangan cepat terasa dan memikirkan jauh-jauh apa yang tercatat di entri ini. Harap maaf jika ada yang terasa.

Isnin, Oktober 12, 2009

Provokasi

Akhirnya...

Pertarungan antara Beruk, Harimau dengan Raja Ular berakhir. Raja Ular berjaya mengalahkan Beruk dan sahabatnya Harimau.

Kekalahan ini betul-betul menginsafkan diri Beruk bertapa persahabatan juga boleh membunuh dirinya juga. Begitu juga dengan Harimau, akhirnya dia sedar betapa walaupun dengan kawan-kawan, bicaranya harus diperhalusi.

Ceriteranya bermula apabila Raja Ular yang suka berlawan mencabar Beruk agar berlawan dengannya. Tapi Beruk tidak mahu. Hatta apabila mendengar jawapan Si Beruk, Raja Ular menjadi marah. Lalu, Raja Ular pun memulakan caranya yang suka membangkitkan kemarahan orang dengan memprovokasi Si Beruk.

"Cakap je la yang kau tu tak reti berlawan... kan senang. Hahaha... Beruk tak reti berlawan... takut kalah."

Hatta mendengar akan provokasi Raja Ular kepada kawannya Beruk, maka Harimau sebagai seorang sahabat pun mula bercakap besar dengan Raja Ular.

"Woi! Kau dah kenapa? Kalau nak, marilah berlawan dengan aku. Aku lebih hebat daripada kawan aku Si Beruk ni dan lebih jebat daripada kau. Raja Rimba pernah memujiku sebagai seorang hulubalang yang terhebat di Rimba ini."

Mendengar akan bicara Si Harimau, Raja Ular lalu berlawan dengannya. Beruk hanya melihat sahaja pertarungan itu. Dia tidak mampu untuk meleraikannya. Akhirnya pertarungan berakhir di mana Raja Ular memenangi pertarungan itu. Harimau kewalahan.

Raja Ular lalu membuat provokasi kepada Harimau.

"Kata hebat... di mana kehebatan kau tu? Lain kali janganlah cakap besar."

Harimau tertunduk malu. Dia memandang sahabatnya Beruk, namun Beruk yang semenjak tadi hanya membatukan diri, terus-menerus membatukan diri. Raja Ular terus menyindirnya.

"Woi! Harimau, bukankah kau seorang yang hebat dalam seni mempertahankan diri ini? Ilmu kau cukup tinggi. Gunung mana yang tidak kau daki, hutan mana tidak kau redah untuk menuntut ilmu kepahlawanan. Kenapa kau boleh kalah dengan aku?"

"Siapa yang cakap seni mempertahankan diri aku hebat. Bila masa ilmu aku tinggi? Binatang-binatang di hutan ini yang bercakap sedemikian rupa. Bukannya aku. Semenjak aku menjadi hulubalang di hutan ini, tidak sesekali aku memperkatakan yang aku lebih hebat dari sesiapa."

"Ye, ke?" Balas Raja Ular.

"Terpulang kepada kau untuk mempercayainya."

Beruk yang dari tadi membatukan diri tiba-tiba bersuara.

"Lain kali, kau harus bersabar Harimau. Jangan ikutkan sangat amarah kau tu. Dia memprovokasi aku bukannya kau."

Harimau hanya tertunduk malu. Kata-kata Beruk memang betul tetapi dia hanya mahu mempertahankan maruah Beruk dari diperlecehkan oleh Raja Ular yang tahu memprovokasi orang dan suka berlawan sahaja. Kemenangan Raja Ular telah menguatkan lagi bahawa Harimau sebenarnya hanya kuat pada luarannya sahaja tetapi dari dalamannya tidak. Namun, itu apa yang dilihat oleh Raja Ular dan dia sebenarnya tidak tahu langsung akan kekuatan yang ada pada Harimau.

Ketika Raja Ular semakin mengawal segalanya tiba-tiba datang Sang Helang menyambarnya. Beruk dan Harimau terkejut. Namun mereka berdua gembira dengan tindakan Sang Helang yang datang tiba-tiba. Walaupun begitu, persahabatan antara Beruk dengan Harimau semakin renggang dengan apa yang berlaku.


Moral :
1. Jangan suka provokasi orang.
2. Jangan cepat marah apabila diprovokasi nanti akan memakan diri.

Rabu, Oktober 07, 2009

Semakin Banyak Ilmu, Semakin Bodoh Seseorang itu?

Aku masih ingat lagi, pada hari raya yang kelapan. Ketika itu aku bersama-sama dengan ayahku pergi beraya ke rumah kawan ayah aku. Aku memang gemar datang ke rumahnya kerana aku akan senantiasa mendapat input-input baru. Walaupun cara pak cik itu menyampaikan sesuatu itu dengan cara kasar atau dengan maksud lainnya secara berterus-terang tetapi aku suka.


Pada hari itu, pak cik itu telah menegur aku...


"Sesuatu ilmu yang kita perolehi adalah datang daripada-NYA. Kalau DIA ingin menjadikan kita bodoh, bodohlah kita. Kalau DIA ingin jadikan kita pandai, pandailah kita. DIA boleh mengambil ilmu yang diberi oleh-NYA dalam sekelip mata sahaja. Jadi, janganlah sombong dengan ilmu yang kita ada kerana semakin banyak ilmu seseorang itu, semakin tinggi juga kebodohan yang seseorang itu miliki." Lebih kurang begitulah kata-kata yang terkeluar dari mulut pak cik itu.


Aku masih lagi memikirkan, apakah maksud akan kata-kata pak cik itu "semakin banyak ilmu seseorang itu, semakin tinggi juga kebodohan yang seseorang itu miliki." Walaupun aku masih memikirkan maksud yang cuba pak cik itu sampaikan tetapi ada sesuatu yang aku terfikirkan.

Bagaimana kalau ada seseorang yang ingin meminta bantuan dan tunjuk ajar dariku, sedangkan orang yang ingin meminta bantuanku itu seorang yang nak dikatakan malas, tidak juga. Tetapi orang itu jenis malas nak baca buku dan bila dikelas jenis tak nak menumpukan perhatian. Padanya belajar tidaklah penting sangat yang penting apa yang kita lakukan. Bukan itu sahaja, orang ini jenis tidak berapa mahu dengar cakap. Padanya, dia sahaja yang betul. Adakah harus aku memberi bantuan dan tunjuk ajar kepadanya?


Tolak cerita mengenai orang yang di atas. Ada sesetengah orang yang pandai bercakap dan berdebat sementara ada sesetengahnya yang tak pandai nak bercakap dan berdebat. Adakah yang pandai bercakap dan berdebat itu tinggi ilmunya? Sementara yang tak pandai bercakap dan berdebat itu bodoh orangnya? Siapa pula di anatara kedua-duanya yang hanya mendengar orang cakap itu dan ini lalu dia pun percaya dengan kata-kata orang itu?

Selasa, Oktober 06, 2009

Surat Kepada Raja Rimba

Kepada Raja Rimba,

Maafkanlah patik jika surat yang dikarang ini mengganggu ketenteraman tuanku yang sedang lena bersemayam di singgahsana tuanku. Tujuan surat ditulis, bukanlah bertujuan patik untuk menyusahkan tuanku apalagi ingin menderhaka. Apa yang patik ingin sampaikan hanyalah sekadar rintihan patik dan kaum kerabat patik terhadap apa yang berlaku selama ini kepada kami.

Apa yang terjadi selama ini, memang sengaja kami pendamkan dan tidak mahu tuanku tahu akan hal kami. Namun, kami tidak mampu untuk memendamkan perasaan ini untuk tempoh waktu yang terlalu lama. Sebelum berlakunya pertumpahan darah di rimba ini atau dengan lebih tepatnya di bawah jajahan tuanku, lebih baik patik menulis surat ini agar tuanku mengerti akan nasib kami.

Sebelum menulis surat ini, keadaan yang berlaku di sini masih lagi terkawal. Walaupun sudah ada rusuhan-rusuhan kecil, namun dengan adanya pemimpin-pemimpin di antara kedua-dua belah pihak, keamanan masih lagi dipelihara.

Wahai tuanku,

Seperti yang tuanku tahu, kami bangsa Tenuk merupakan bangsa yang sangat bersopan santun. Kami tidak berapa gemarkan peperangan apalagi memulakan rusuhan. Tidak seperti bangsa yang serumpun dengan kami iaitu bangsa Tapir. Mereka lebih gemar peperangan dan juga rusuhan.

Baru-baru ini kecoh apabila beberapa orang-orang kami telah masuk dalam kawasan daerah bangsa Tapir. Mereka berfikir bahawa kami mahu merampas kawasan itu. Pada hal orang-orang kami tidak sengaja memasuki kawasan itu. Maka berlakulah kekecohan dan paling teruk mereka cuba menggunakan buluh runcing kepada orang-orang kami. Adakah patut ini semua terjadi?

Tuanku yang patik hormati,

Tuanku sendiri tahu yang bangsa kami sering membantu bangsa Tapir apabila berlaku masalah di kalangan mereka. Tapi mereka tidak pernah terfikir akan hal itu. Apa yang mereka tahu, kami sahaja yang sering cuba merampas hak mereka. Pada hal, kejadian-kejadian yang sebelum ini hanyalah salah faham sahaja. Tetapi kenapa mereka tidak pernah memikirkan bantuan yang telah banyak kami hulurkan?

Baru-baru ini juga telah berlaku tanah runtuh di salah sebuah kawasan bangsa Tapir. Banyak nyawa yang terkorban. Dan kami, sebagai bangsa yang suka membantu telah menghulurkan bantuan kepada mereka. Itu semua atas rasa belas pemimpin-pemimpin kami. Tapi, adakah rasa belas itu harus ditunjukkan dan harus dibantu mereka?

Bukanlah niat patik mahu memberontak atau melakukan rusuhan terhadap pemimpin patik sendiri. Tetapi patik dan beberapa kawan-kawan patik yang lain merasa sakit hati melihat akan keadaan yang berlaku. Ini kerana adakah mereka akan memikirkan keikhlasan yang telah kami hulurkan dalam membantu mangsa-mangsa tanah runtuh itu. Yang kami risaukan ialah apabila berlaku lagi masalah yang lain, mereka akan melakukan kekecohan dan rusuhan.

Wahai tuanku,

Di sini, patik hanya mahu jasa baik dari tuanku agar memberi sedikit iktibar kepada bangsa Tapir agar apabila berlaku apa-apa masalah selepas ini, jangan sesuka hati mahu melakukan kekecohan dan rusuhan. Sehingga sanggup mahu membunuh bangsa kami.

Jika ini berlaku, tuanku pasti akan lihat kawasan jajahan tuanku akan bermandikan darah...

Akhir sekali, patik menyusun 10 jari memohon keampunan dari tuanku jika surat ini telah membuatkan hati tuanku menjadi gusar. Bukanlah niat patik untuk membuatkan hati tuanku menjadi gusar. Cuma mahu tuanku mengambil tindakan jika berlaku lagi masalah yang tidak diingini.

Yang benar,
Rakyat Tenuk yang melihat

Isnin, Oktober 05, 2009

Hai... Nyamuk... Nyamuk...

Sehingga sekarang aku masih memikirkan mengenai dia. Ya, dia yang suka membuat bising apabila tiba waktunya kita melelapkan mata. Kenapa aku memikirkannya? Pasti kamu semua tertanya-tanya.

Bukan maksud aku untuk menghina dia tetapi aku yakin, kamu semua juga pasti tidak suka dengan kehadirannya. Bagaimana harus kita menyukainya, sedangkan darah kita dihisapnya. Bila tiba waktu malam, ketika itulah dia akan membuat bising tetapi tidak semestinya waktu malam. Bila kita di hutan, bila-bila masa sahaja dia akan membuat bising dan menghisap darah kita, tidak kira siang atau malam.

Aku bercerita mengenai dia bukannya apa. Aku kesian melihat kaum-kaum ibu yang bersusah-payah menjaga anak-anak mereka apabila tiba waktu malam. Kaum-kaum ibu pasti akan menjaga anak-anak mereka daripada gangguan dia. Kaum-kaum ibu juga tidak berapa suka dengan tindakan dia yang suka membuat bising di samping menghisap darah anak-anak mereka. Kaum-kaum ibu hanya menunggu masa untuk membunuh dia apabila dia keluar dari tempat persembunyiannya.

Bukannya apa-apa sangat sebenarnya dia itu kepada kita semua. Tetapi bayangkanlah berapa banyak darah yang telah dihisapnya dari badan kita? Dan berapa banyak pula daripada kita semua ini dibunuhnya hanya kerana gigitannya. Paling ditakuti apabila dia menyebarkan demam denggi.

Memang tidak dinafikan, dia sebenarnya hebat. Dia boleh hidup di mana-mana sahaja dia berada. Cakap sahaja di mana, pasti dia boleh hidup dan yang pasti, kita semua juga yang bagi peluang dekat dia untuk terus hidup.

Aku sebenarnya sudah tidak tahu apa lagi yang harus aku buat. Pelbagai racun digunakan, pasti dia masih hidup dan bunyi bising dia pasti akan mengganggu aku dan juga kamu semua. Apa yang pasti sekarang jangan biarkan dia menghisap darah kita dengan sewenang-wenangnya.

YA! NYAMUK MUSUH NEGARA...

Wahai nyamuk
kerana bunyi bisingmu
aku tidak bisa tidur

Wahai nyamuk
betapa bodohnya aku
membiarkan kau menghisap darahku

Wahai nyamuk
tidakkah kau kasihan
melihat ibu-ibu yang menjaga anak-anak mereka
sanggup kau membuat bising dan menghisap darah
anak-anak mereka

Wahai nyamuk
betapa hebatnya kau
menyelamatkan diri
namun, kau tetap nyamuk
hidupmu tidak panjang

Sabtu, Oktober 03, 2009

Ku Misa Tidak Layak?

KAMPUNG MUTAH, 3 OKT - Pemilihan ketua kampung bagi Kampung Mutah menjadi sedikit kecoh untuk beberapa hari ini gara-gara mantan ketua kampungnya yang tidak bersetuju dengan pemilihan Kaum Tua bagi memilih Ku Misa  bin Ku Mat sebagai ketua kampung.

Mantan ketua kampungnya, Hadir bin Mat tidak bersetuju dengan pemilihan tersebut kerana boleh menjejaskan populariti kaum tua yang sudah begitu lama memerintah kampung tersebut. Ini kerana Ku Misa pernah terlibat dengan rasuah dalam pemilihan organisasi Kaum Tua.

Menurut Hadir bin Mat lagi, pemilihan Ku Misa sebagai ketua kampung akan memudahkan Kaum Muda dalam melancarkan perang psikologi kepada Kaum Tua dan memudahkan lagi mereka dalam meraih undi semasa pemilihan tersebut dijalankan.

Namun begitu, Kaum Tua tetap dengan pendirian mereka dalam memilih ketua kampung bagi Kampung Mutah. - Fajar

Ego VS Ego

"Wahai Puteri Intan Kembangan, janganlah dikau marah akan patik pacal yang hina. Patik hanya bergurau sahaja..."

"Tidak mengapalah wahai memanda, beta tidak akan meminta tolong dari memanda lagi. Beta tau siapalah beta di mata memanda."

Tuan Puteri berlalu meninggalkan Memanda Tun Sebuntal dengan perasaan sedih.

"Merajuklah pula Si Puteri Intan Kembangan ni... aku dah minta maaf tapi masih lagi terasa hati... Lepas ni gerenti heboh kat mana-mana ni... iskh... iskh... iskh... Gerenti Tukang Rokok dan Tukang Mulut tahu akan hal ini... Aduh... apa yang harus aku buat..."

Memanda Tun Sebuntal lalu beredar dari situ sambil menggelengkan kepala...

Khamis, Oktober 01, 2009

Gara-gara SMS

KUALA LUMPUR, 1 OKT - Sepasang suami isteri hampir bercerai gara-gara khidmat pesanan ringkas (SMS). Mariam binti Sukiman, 40 tahun telah meminta cerai daripada suaminya Rusli bin Subuh.

Menurut Rusli, 40 tahun, isterinya meminta cerai hanya kerana satu SMS sahaja. Rusli telah membalas SMS yang dihantar oleh isterinya dengan maksud gurauan tetapi isterinya mentafsirkan bahawa dia marah kepadanya. Kerana salah tafsiran itu, isterinya telah meminta cerai darinya.

Namun menurut Mariam pula, dia meminta cerai bukan sahaja mengenai SMS itu sahaja malah dia terasa hati apabila suaminya memarahinya apabila dia mengajak suaminya menemaninya untuk berjumpa dengan seorang pakar perubatan.

"Saya memarahinya bukanlah bermaksud saya tidak mahu menemaninya berjumpa dengan pakar perubatan tetapi saya mahu dia berdikari. Kalau sentiasa sahaja saya pergi menemaninya, sampai ke tualah dia takkan pandai-pandai. Saya ni kadang-kadang sibuk. Jadi, apa salahnya sesekali itu, dia pergi sendiri." kata Rusli kepada wartawan Fajar mengenai kata-kata isterinya itu.

Apa sekalipun, perceraian antara Rusli dan Mariam tidak berlaku kerana ada kawan-kawan yang membantu dalam menangani masalah mereka. - Fajar

Rabu, September 30, 2009

Ayam Kehilangan Anak

JOHOR BAHRU 29 SEPT - Sebuah kampung di sini mengalami gangguan untuk beberapa hari kerana bunyi bising daripada seekor ayam betina. Ayam betina itu berkokok dari pagi hingga ke malam tanpa henti.

"Ayam itu sebenarnya menangis. Dia kehilangan anak-anaknya." Kata Halim, salah seorang penduduk di situ.

Mengikut sumber yang boleh dipercayai, kematian anak-anak ayam itu disebabkan oleh kebodohan ayam betina itu sendiri. Ayam betina itu telah memecahkan sendiri telur-telurnya demi melihat anak-anaknya keluar cepat. Ayam betina itu berbuat demikian apabila melihat anak-anak jirannya telah keluar dari telur mereka. Demi melihat anak-anaknya cepat keluar maka dipecahkanlah telur-telurnya itu.

Kebodohan si ayam betina itu telah ditegur oleh jirannya di mana apabila dipecahkan telur-telur itu, maka anak-anaknya tidak akan menetas. - Returs

Jumaat, September 18, 2009

Jabatan Neraka Sedunia Dibuka Semula?

SLIM RIVER, 18 SEPT - Pengumuman raya yang telah diumumkan oleh Penyimpan Besar Mohor-mohor Diraja telah menggembirakan seluruh kakitangan di Jabatan Neraka Sedunia. Ini kerana warganya akan bebas dalam masa dua hari lagi. Ketika itu segala syaitan dan iblis akan memulakan tugas-tugas mereka.

"Kami sangat gembira. Selama hampir sebulan kami dibelengu, kami akan bebas semula untuk mencari rezeki." Kata salah seorang syaitan yang berumur dalam lingkungan 670 tahun kepada wartawan Fajar.

Mengikut sumber yang boleh dipercayai, Jabatan Neraka Sedunia akan beroperasi seperti sediakala pada 20 SEPT 2009. - Fajar

KAMI WARTAWAN
GAPURABICARA.BLOGSPOT.COM
INGIN MENGUCAPKAN
SELAMAT HARI RAYA
KEPADA PENGUNJUNG-PENGUNJUNG BLOG INI.

Khamis, September 17, 2009

Toyol Hilang Di Tanah Perkuburan

KUALA LUMPUR, 16 SEPT - Kehilangan hantu toyol di salah satu tanah perkuburan di bandar ini telah menggemparkan penduduk setempat. Ini kerana kehilangan toyol tersebut telah mengganggu aktiviti tidur penduduk di sekitar tanah perkuburan itu. Bunyi tangisan hantu pontianak yang tidak henti-henti telah mengganggu ketenteraman mereka.

Mengikut kenyataan salah seorang penduduk, pontianak tersebut adalah ibu kepada toyol yang hilang itu. Jadi kerana itulah pontianak tersebut akan menangis mengenangkan anaknya yang hilang itu. Suara tangisan pontianak itu boleh didengar sehingga ke Kampung Baru.

Apa yang menjadi persoalan kepada penduduk setempat ialah ke mana menghilangnya toyol tersebut. Pelbagai andaian dan pendapat telah timbul daripada kehilangan toyol tersebut.

"Memang tidak salah, toyol itu telah lari meninggalkan ibunya kerana tidak tahan dengan kasih sayang ibunya iaitu pontianak yang berlebih-lebihan kepada orang lain daripada anaknya sendiri." kata salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Bakar.

Bakar berkata sedemikian kerana, ibunya pontianak pada hari Isnin yang lalu telah menghulurkan sumbangan yang kononnya ikhlas kepada anak-anak hantu yang yatim. Sumbangan yang kononnya ikhlas itu telah membuatkan si anak (toyol) menjadi marah.

Mengikut Bakar lagi, kemarahan toyol adalah berasas kerana sumbangan kepada orang lain boleh diberi tetapi anak sendiri dibiarkan mati kelaparan.

Apa yang pasti, ada satu pendapat yang sangat popular di kalangan penduduk. Wartawan Returs mendapati, kebanyakan penduduk bersepakat bahawa kehilangan toyol adalah kerana toyol telah kembali ke masa silam. Toyol sebenarnya tidak mahu tinggal di Malaysia tetapi mahu tinggal di Malaya. - Returs

Ahad, September 13, 2009

7,000,000 Gelen Darah

KUALA LUMPUR, 11 SEPT : Satu kekecohan telah berlaku di salah satu tanah perkuburan di Kuala Lumpur. Kekecohan yang berlaku adalah disebabkan oleh ketidakpuasan hati hantu Pontianak atas kelancaran mulut hantu Pocong. Ini kerana, hantu Pocong telah membocorkan bajet darah yang ada di Institut Hantu Kebangsaan.

Mengikut keterangan seorang saksi yang melihat akan kekecohan itu, hantu Pocong telah mendedahkan kepada seluruh warga Institut Hantu Kebangsaan mengenai lebihan darah yang ada di institut tersebut. Sebanyak 7,000,000 gelen darah masih lagi tersimpan di institut itu.

Dengan terbongkarnya darah yang masih tersimpan di institut tersebut, banyak hantu-hantu di situ yang marah. Ini kerana, mereka terpaksa mencari darah di luar dengan mengganggu manusia yang melalui perkuburan itu. Jika darah yang tersimpan di institut tersebut masih banyak, mereka tidak perlu mengganggu manusia di luar itu.

"Kami hanya mahukan kepastian kepada ketua di Institut Hantu Kebangsaan iaitu Dato' Pontianak kenapa harus dirahsiakan mengenai darah yang masih banyak tersimpan kepada warga institut ini?" Bicara hantu Pocong kepada wartawan Fajar.

Bagaimanapun, kekecohan itu telah dileraikan oleh seorang ustaz yang melalui perkuburan itu dengan menyuruh hantu Pocong supaya bersabar dan tidak menghebahkan rahsia itu kepada manusia di luar. - Fajar.

Sabtu, September 12, 2009

Tenuk, Tapir dan Buluh Runcing

PAHANG, 8 SEPT : Telah berlaku satu pergaduhan di antara sekawan tenuk dan sekawan tapir di selatan Hutan Simpan Pahang. Mengikut kenyataan beberapa ekor binatang lain di hutan itu, punca pergaduhan hanya disebabkan oleh sebuah busut.

"Saya pun tidak pasti sangat apa yang terjadi. Tetapi, apa yang pasti, mereka berebutkan sebuah busut. Masing-masing memperkatakan bahawa itu adalah kawasan mereka. Mereka yang jumpa dahulu busut itu." kata seekor kancil kepada wartawan Returs.

Apa yang menariknya, beberapa ekor tenuk telah meletakan buluh runcing di sekeliling busut itu daripada didekati oleh tapir-tapir itu. Kononnya, buluh runcing itu bertujuan untuk membunuh tapir-tapir itu apabila mereka mendekati sahaja busut itu.

"Busut ini kami punya. Bukan sahaja busut ini, malah kawasan ini juga merupakan tapak warisan kami turun-temurun sejak nenek moyang kami lagi." Bicara seekor tenuk yang lebih tua daripada yang lain. "Jadi, kenapa harus bangsa tapir memasuki kawasan ini dan merampas hak kami." Bicara tenuk tua itu lagi.

Sementara itu, di pihak tapir, mereka telah meminta maaf di atas kesalahan mereka. Mereka tidak menyangka itu adalah kawasan bangsa tenuk. Ini kerana bukannya mereka yang sengaja datang ke situ tetapi ada pihak lain yang menyatakan kawasan itu adalah kawasan bebas dan tidak berpunya.

Bagi pihak persendirian yang menyatakan kawasan itu adalah kawasan bebas, mereka menyatakan bahawa mereka cuma mahu menolong mempromosikan kawasan turun-temurun bangsa tenuk itu sahaja. Bukan niat mereka mahu merampas kawasan itu. - Returs

Isnin, September 07, 2009

Bingung Tak Dapat Diajar, Cerdik Tak Dapat Diikut

Suatu hari di Akademi Kuih Tradisional...

"Ian! Cuba kau dengar cakap aku sikit."

"Buat apa aku nak dengar cakap kau?"

"Aku tau... aku tak ada banyak kuih yang aku buat dekat luar tu. Tapi cuba kau dengar cakap aku sikit."

"Sedar pun diri kau tu tak ada banyak kuih yang terjual dekat luar tu. Hanya setakat kuih seri muka tu sahaja yang kau jual, buat apa aku nak dengar cakap kau." Bebel Ian kepada Maz.

Maz hanya menggelengkan kepalanya.

"Aku sedar aku ni tak sehebat kau... ada bermacam-macam kuih yang kau buat dekat luar tu dan ada yang dah terjual pun... tapi janganlah nak berlagak. Kau tu belajar lagi dekat sini." Balas Maz.

"Suka hati aku la. Setakat bagus dekat dalam akademi ni dan tidak dekat luar tu tak ada gunalah kau nak menegur aku. Pensyarah dalam ni bolehlah kau bodek."

"Suka hati kaulah Ian... malas aku nak tegur kau lagi."

Maz berlalu pergi meninggal Ian. Dalam hatinya masih tetap menganggap Ian sebagai kawannya.

Sabtu, September 05, 2009

Kuih Talam Dengan Akademi Kuih Tradisional

Kuih Siput yang merupakan mentor kepada Kuih Talam telah masuk ke kuliah Kuih Sampan. Pada pagi itu, Kuih Sampan tidak dapat mengajar lalu memberikan tugas mengajar murid-muridnya kepada Kuih Siput. Kuih Siput dengan muka yang ceria masuk ke kelas itu. Tanpa di duga Kuih Talam juga ada di dalam kuliah itu.

Semua murid hanya mendengar sahaja apa yang diperkatakan oleh Kuih Siput. Sehingga pada satu tahap, Kuih Siput bertanya kepada murid-murid tersebut (termasuk Kuih Talam) apakah kerja yang telah mereka lakukan untuk menaikan nama mereka di peringkat antarabangsa. Semuanya tidak berkata apa-apa kecuali Kuih Talam yang bangga dengan kerja-kerja yang telah dilakukannya selama ini. Pada hal apa yang dilakukannya tidaklah menampakan sangat namanya di persada antarabangasa.

Kuih Siput lalu menegur murid-murid yang senyap itu.

"Apa guna kalau kamu semua belajar di sini tapi tidak menonjolkan diri kamu di peringkat antarbangsa. Kamu harus menaikan bangsa kuih kamu di persada yang lebih tinggi"

Murid-,urid yang lain hanya mendiamkan diri sahaja. Dalam hati masing-masing tidak bersetuju dengan kata-kata Kuih Siput. Sementara itu, Kuih Talam mula menegur kuih-kuih lain agar menjadi sepertinya.

"Kita harus tamak... tak usah ikut pepatah lama... orang tamak selalu rugi. Pepatah itu sudah tidak boleh pakai lagi. Kita sekarang harus tamak mengejar cita-cita".

Murid-murid lain hanya menggangguk sahaja. Dalam kepala masing-masing hanya berfikir,

"Hipokrit..."

Rabu, September 02, 2009

Ayam Diasak Makan

Matahari seakan semakin jauh dari Bulan dan Bulan tetap keadaan seperti itu. Sejuk dan gelap. Matahari semakin hari semakin merasai kejauhan itu dan cahaya yang sering dipantulkannya kepada Bulan semakin hari semakin berkurangan. Hari-hari seterusnya juga adalah sama. Kelihatannya Matahari seperti ayam diasak makan.

Selasa, September 01, 2009

Persidangan Tenuk-tenuk Sedunia

Tenuk 1: Kenapa boleh jadi macam ini?

Tenuk 2: Hamba pun tidak tahu... yang hamba tahu seekor tenuk betina telah dikelar lehernya oleh seorang lelaki dan darah tenuk betina itu dihirup oleh lelaki itu.

Tenuk 3: Kita harus membalas dendam kepada mereka semua. Sudah habis dikerahnya tenaga kita semua dan sekarang hasilnya juga mahu mereka bawa.

Tenuk 2: Kita perang...

Tenuk 1: Sabar... sabar... kita harus cari jalan pendamaian... Kita tidak boleh berperang. Ini akan menghancurkan bangsa kita juga.

Tenuk 3: Tak habis-habis dengan pendamaian... kerana itu jugalah sampai sekarang banyak bangsa tenuk kita yang penakut dan pemalu dalam mempejuangkan sesuatu yang benar... Sudahlah... lebih baik aku keluar dari persidangan ini.

Tenuk 1 hanya menggelengkan kepala dengan perangai Tenuk 3

Ahad, Ogos 30, 2009

MERDEKA

Di sinilah mereka bersatu
menyuburkan tanah nurani ini
dalam tangisan darah dan air mata
terciptalah satu bangsa yang
MERDEKA.

EROS

SUASANA petang ketika itu bagaikan menandakan sesuatu yang akan berlaku pada malamnya. Langit yang kelihatan biru dan diserikan lagi dengan kehadiran awan-awan kecil yang berarak semakin bertukar jingga kemerahan apabila sang suria yang tergantung di tikar langit semakin menghilangkan dirinya untuk memberi peluang kepada sang bulan memberikan khidmatnya pula.

Aku duduk di tepi tasik sambil memerhatikan pengunjung-pengunjung beredar meninggalkan tasik itu. Burung-burung berterbangan sambil berkicauan menuju ke sarang setelah puas mencari makan pada siangnya. Kicauan burung-burung itu menjadi satu alunan muzik yang begitu mententeram hati yang buncah menanti malam.

Entah kenapa, hari ini katihku tiba-tiba sahaja ingin melangkah ke sini. Sambil disulam dengan perasaan yang berbelah-bahagi, aku melangkah juga ke sini setelah habis menunaikan sembahyang Asar di surau tadi. Sebenarnya, perasaan ini sudah bermain sebelum aku melangkah keluar dari rumah lagi apabila kepalaku terhantuk di alang pintu. Kata orang tua-tua, “jika terhantuk di alang pintu semasa hendak keluar rumah, jangan diteruskan, alamat sial mendatang.” Tapi aku tetap meneruskan perjalananku untuk ke surau.

Di satu sudut lain, terdapat satu gerai yang menjual air. Hanya air sirap yang kemerahan itu sahaja yang terjual di gerai itu. Pengunjung-pengunjung tasik tersebut begitu ramai yang merasai kenikmatan air sirap tersebut tanpa mengetahui dari mana punca asal air sirap itu diperolehi. Penjualnya berbadan besar, lapang di tengah kepalanya, bercermin mata, bermisai putih, memakai baju dan seluar yang berwarna kesumba, berumur dalam lingkungan pertengahan 50-an. Lelaki separuh abad itu duduk di sebuah kerusi sambil berteduhkan pokok bunga tanjung yang banyak terdapat di tasik itu. Mukanya kelihatan berseri dan sering tersenyum melihatkan keadaan pengunjung-pengunjung yang berebut membeli air sirapnya. Namun, keserian muka dan senyumnya itu seperti mengandungi seribu maksud yang sukar untuk aku tafsirkan dalam benak kepalaku.

Ibuku ada berkata bahawa lelaki tua itu sudah lebih 30 tahun menjual air di kawasan tasik ini dan sudah menjadi air mandi bagi pengunjung-pengunjung di sini bagi menghilangkan dahaga dengan membeli air sirapnya. Lelaki tua itu terus memerhati sahaja air sirapnya diambil oleh pengunjung tasik itu. Bayaran air sirap itu, pengunjung akan masukkan pula ke dalam peti yang telah disediakan di tepi gerai itu. Tiada siapa yang berani untuk menipu bahawa mereka telah membayar air sirap itu.

“Aku rasa, hari ini aku nak air sirap percuma la,” kedengaran seorang budak dalam lingkungan 20-an, berbaju merah darah, berseluar jeans hitam berbicara dengan rakannya tidak jauh dari dudukku.

“Adakah buaya menolak bangkai,” rakannya yang kelihatan lebih berumur darinya berkata dengan sinisnya. “Biasa la… kalau dah jahat… kalau ada kesempatan… pasti akan dilakukannya. Tapi… aku rasa, kau tak akan mampu untuk melepasi pandangan mata lelaki tua itu.”

Aku terpegun mendengar kata-kata budak itu. Walaupun berambut panjang dan mamakai baju compang-camping dan berseluar jeans yang koyak di lututnya itu, kelihatan dia bukanlah orang yang sebarangan dan sikap serta tingkah lakunya seperti air dalam kolam.

“Kenapa bicara kau sedemikian. Kau seperti tidak kenal aku, Dolah? Ini Khai la… orang panggil aku akal belut. Tak ada masalah dengan benda kecil macam ni.” Keakuan budak itu semakin terserlah. Rakan budak itu yang bernama Dolah hanya tersenyum memandangnya.

“Memang betul kau akal belut… tapi kali ini, tidak mungkin kau akan terlepas. Kau nampak tak burung gagak tu,” tangannya dituju ke arah pokok bunga tanjung yang menjadi tempat berteduh lelaki tua itu. Aku melihat burung gagak yang ditunjukkan oleh budak itu. Kemudian aku memandang semula ke arah mereka berdua. “Burung gagak itu ibarat mata kepada lelaki tua itu,” budak itu menambah lagi.

Tanpa mempercapak teguran Si Dolah, Khai kulihat terus pergi ke gerai itu, dengan akal belut yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya, dia dengan begitu senang mencilap dua cawan air sirap lalu beredar dari situ. Dia kembali semula kepada Dolah dengan senyuman yang sinis sementara Dolah hanya menggelengkan kepalanya dan dapat kulihat dari pandangan matanya bahawa dia begitu risi dengan tindakan sahabat baiknya itu. Khai memberikan satu dari cawan air sirap itu kepada Dolah dan Dolah mengambilnya dengan rasa serba salah.

“Berhati-hatilah dengan kualat yang akan kau terima nanti.”

Kata-kata Dolah itu cukup membuatkan Khai terkedik. Bukan Khai sahaja malah aku yang mendengar percakapan Dolah itu dari jauh juga berasa terkedik dengan kata-kata itu. Aku kurang mengerti maksud Dolah itu, begitu juga Khai yang kulihat senyap seketika mendengar kata-kata Dolah itu. Namun, Khai tidak mengendahkan langsung akan kata-kata itu dan berlalu pergi dari situ. Dolah juga ikut bersamanya tetapi Dolah sempat menoleh ke arahku dengan senyuman di mana dalam benak fikiranku mentafsirkan bahawa senyuman itu mengandungi seribu macam makna yang perlu ditafsirkan tetapi aku tidak mampu untuk menafsirkannya, bak kata orang, dada manusia tidak dapat diselam.

Berlalunya mereka berdua disambut dengan pawana kencang yang tiba-tiba sahaja mengamuk, bunga tanjung berguguran ditiup pawana, bagaikan seperti salju yang baru turun, sungguh mengasyikkan mata yang melihat suasana ketika itu. Pemergian mereka berdua bukan sahaja disambut dengan pawana yang sedang mengamuk itu malah disambut juga dengan suara burung gagak yang bertenggek di atas pokok tempat lelaki penjual air sirap itu berteduh. Burung gagak itu juga mengirai kepaknya dengan begitu sali sekali seperti memberitau lelaki tua itu sesuatu dan lelaki yang separuh abad itu hanya tersenyum sahaja. Senyuman itu betul-betul membuncahkan hatiku kerana lelaki separuh abad itu hanya duduk diam sahaja, tidak berteriak kerana berdengking si tua memekik mustahil akan menggigit jua. Kalau lelaki itu diam dan tersenyum sahaja, pasti akan berlaku sesuatu. Itu pada fikiranku sahaja.

Kelihatan ufuk sudah mulai gelap dan azan yang berkumandang begitu mersik dan bagaikan memanggil-manggil aku supaya berjemaah di surau. Namun, entah mengapa katihku secara tiba-tiba tidak dapat bergerak bagaikan ada satu kuasa yang menghalangku dari berlalu pergi dari tasik itu. Keharuman bau bunga tanjung menusuk ke hidungku. Aku tenggelam dengan keharuman bau bunga tanjung. Sementara itu pengunjung-pengunjung tasik itu pula sudah mulai perlina dari pandangan mataku.

Ketika itu juga pawana semilir mendinginkan tubuhku. Pemikiranku yang ruwet dan hatiku yang rusuh sejak petang tadi semakin sali ruwet dan rusuhnya. Hatiku dirasakan semakin berdegup kencang. Kenapa? Aku sendiri masih mencari jawapannya.

Keheningan malam itu tiba-tiba sahaja diingarkan dengan suara burung gagak dan hatiku semakin rusuh. Namun, tidakku meladeni perasaan hatiku yang rusuh itu. Aku memikirkan apakah kutaha yang cuba disampaikan oleh burung gagak itu? Pawana yang tadinya semilir tiba-tiba sahaja ugah. Pawana bertiup kencang mendinginkan lagi tubuhku yang memang sudah dingin itu. Fikiranku semakin sali ruwetnya dan asyik memikirkan apakah kutaha yang akan menimpa pada malam ini.

Suara burung gagak itu semakin lama semakin sali dan ini menjadikan perasaan ingin tahuku akan apa yang bakal berlaku pada malam ini semakin memborgol fikiranku. Tidak jauh dari tempat aku duduk itu, kelihatan seseorang sedang berlari dan lariannya seperti dikejar oleh sesuatu. Pandangan mataku semakin cerat bahawa yang berlari itu adalah pemuda yang mencilap air sirap pada petang tadi. Ya! Tidak salah pandangan mataku, semakin dekat orang itu, semakin cerat pandangan mataku mengenalinya dengan kesamaran malam ini. Tetapi kenapa dia berlari seperti dikejar hantu?

Semakin dekat Khai denganku, barulah aku perasan ada sesuatu yang mengejarnya. Aku dapat melihat dengan jelas seekor burung gagak mengejarnya dan suara burung gagak itu semakin sali. Fikiranku yang cabur semenjak petang tadi semakin terjawab lamun begitu, ianya tetap masih menjadi tanda tanya dalam benak fikiranku, kenapa? Kenapa dia dikejar oleh burung gagak itu.

Tiba-tiba Khai kulihat terjelepuk ke tanah. Burung gagak yang mengejarnya mematuk-matuk tubuhnya dan Khai segera mengertangkan patukkan itu dengan tangannya dan kemudiannya berjermang secara perlahan-lahan, lamun begitu, masih tidak dapat melarikan diri daripada sang gagak.

Tiba-tiba sahaja aku terdengar suara orang ketawa. Aku melihat keadaan sekeliling, namun dengan kesamaran malam, tiada siapa pun yang kelihatan di pandangan mataku. Khai kulihat semakin tidak bermaya dengan patukkan burung gagak itu. Tangannya yang mnjadi perisai untuk dikertangkan patukkan burung gagak itu semakin lama semakin lemah. Bunyi suara orang yang sedang ketawa semakin sali dan semakin dekat kudengar. Sanubariku mula berkata-kata.

“Siapakah yang ketawa itu?”

Aku masih mencari-cari suara orang ketawa itu dan dengan kesamaran malam itu, dapat kulihat sekujur tubuh sedang berjalan dengan perlahannya. Semakin dekat dia dengan Khai semakin cerat pandangan mataku mengenalinya. Lelaki separuh abad yang menjual air sirap itulah yang ketawa memecahkan keheningan malam.

Aku melihat semula ke arah Khai, dia sudah semakin lemah dengan patukkan sang gagak, tangannya juga sudah tidak lagi menjadi perisai untuk dikertangkannya. Aku cuba untuk membantu, namun, katihku terasa berat untuk bangun dan aku hanya mampu memerhatikan sahaja dari jauh. Aku cuba untuk mengubit badanku, lamun begitu, sama seperti katihku, tetap tidak bergerak. Kemudian, aku mencuba melelakan tanganku, pun begitu, tetap sama, tidak bergerak. Seluruh tubuhku kaku di situ dan hanya mampu untuk memerhati sahaja apa yang berlaku.

Lelaki tua itu menghampiri Khai yang sudah lemah dan tidak bermaya itu. Lelaki tua itu terus ketawa sambil melihat sahaja burung gagak kesayangannya itu mematuk-matuk tubuh Khai yang sudah lemah itu. Tiba-tiba kulihat burung gagak itu berhenti mematuk tubuh Khai dan terbang dari situ lalu hinggap di pundak kanan lelaki separuh abad itu.

“Lain kali berkata-kata peliharakan hati,”

Aku melongo mendengar bicara lelaki tua itu kerana hatiku berkata bahawa lelaki separuh abad itu berkata seperti berlurah di balik pendakian. Lelaki tua itu kemudiannya mendekati Khai yang sudah tidak bermaya itu.

“Seseorang yang akal belut tidak semestinya hebat.” Tambah lelaki tua itu. “Ada lagi yang lebih hebat daripada kau.”

Lelaki tua itu tiba-tiba mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya. Hatiku berkata, apakah yang akan dikeluarkannya? Hatiku semakin buncah secara tiba-tiba. Ini kerana hatiku kecilku seperti dapat mengkutaha apakah yang akan dikeluarkannya. Lamun begitu, aku berharap apa yang bermain di fikiranku tidaklah menjadi kenyataan.

Seperti yang kujangkakan, sebilah pisau keluar dari kocek seluarnya. Seperti yang kujangkakan juga dia cuba untuk membunuh Khai. Segala yang bermain di mindaku menjadi kenyataan. Katihku tiba-tiba sahaja terasa boleh bergerak. Aku cuba bangun untuk membantu pemuda itu tetapi pundak kiriku tiba-tiba dipegang oleh seseorang, lagak orang itu memegang pundak kiriku seperti menghalangku daripada membantu Khai yang nyawanya sudah berada di hujung tanduk. Aku menoleh ke belakang dan aku terkedik apabila memandang raut wajah lelaki yang memgang pundak kiriku.

“Biarkan sahaja apa yang berlaku.”

Dengan senyuman Dolah berkata kepadaku. Aku benar-benar terkejut dengan apa yang aku lihat. Kenapa Dolah menahanku daripada pergi membantu Khai yang merupakan kawannya sendiri. Tidak kasihankah dia dengan kawannya itu yang sudah tidak bermaya untuk berlawan lagi?

“Itulah akibatnya jika seseorang itu tidak berhambakan tangan, bersaksikan mata, berhakimkan hati.” Dolah menambah lagi dan seperti mengetahui, apakah yang bermain di fikiranku.

Aku bangun dari melungguh dan berdiri di sebelahnya kemudian melihat semula ke arah Khai. Aku melihat pisau yang dikeluarkan oleh lelaki separuh abad itu telah tersedia dekat dengan leher Khai.

“Rezeki sudah terhidang di depan mata… apa yang harus aku tunggu lagi.” Bicara lelaki tua itu dan terus sahaja mengelar leher Khai.

Aku terkesima. Tubuh Khai menggelupur setelah lehernya dikelar oleh lelaki separuh abad itu. Darah merah memancut keluar, lelaki tua itu terus ketawa dengan kuatnya, burung gagak yang bertenggek di pundak kanannya, terbang dan membuat ingar dengan suara gagaknya. Lelaki tua itu segera mengambil sebuah botol lalu dimasukkan darah Khai yang terpancut keluar itu ke dalam botol itu.

Segala perlakuan lelaki separuh abad itu amat pelik bagi pandangan mataku. Belum pernah aku melihat orang mengumpul darah dari darah manusia. Apakah yang ingin dilakukan oleh orang tua itu? Fikiranku semakin ruwet memikirkannya. Libang-libu di hatiku bertambah-tambah setelah melihat kejadian yang berlaku di mataku.

Setelah puas mengumpul beberapa botol yang telah penuh diisi dengan darah Khai, lelaki tua itu berlalu pergi, menuju ke gerainya. Kemudian lelaki tua itu mengisi darah Khai itu ke dalam sebuah tong yang biasa digunakannya untuk membuat air sirap. Aku menggosok-gosok mataku, adakah benar apa yang dilihat oleh mataku atau hanya mainan mataku sahaja. Kalau betul apa yang aku lihat, ini bermakna, selama ini lelaki tua itu telah menjual air sirap yang bercampur dengan darah manusia. Adakah itu sebagai pelaris kepada gerainya?

Aku memandang Dolah dan cuba untuk mendapatkan kepastian apa yang aku lihat dan dia hanya menganggukkan sahaja kepalanya. Dapat kulihat dari kelopak matanya bergenang dengan air mata. Baru kusedari, Dolah tidak meladeni langsung apa yang kulihat tetapi dia lebih khusyuk melihat kawannya Khai yang sudah nyawa-nyawa ikan. Aku tau, Dolah mungkin sedih atas kehilangan kawannya itu.

“Beginilah manusia, sanggup melakukan apa sahaja demi meneruskan hidup di dunia yang tidak fana ini yang penuh dengan pancaroba.”

Kata-kata Dolah itu mengejutkan aku yang khayal melihat lelaki tua itu melakukan tugasnya mengisi darah Khai ke dalam tong di gerainya. Aku menoleh ke arah Dolah dan dia telah berlalu pergi meninggalkan aku yang masih lagi terpinga-pinga dengan kata-katanya tadi. Aku cuba untuk memanggilnya tetapi lidahku kelu. Aku menoleh ke arah Khai yang sudah nyawa-nyawa ikan dan sungguh mengejutkan hatiku apabila Khai sudah perlina daripada pandangan mataku. Libang-libu hatiku semakin memuncak apabila melihat lelaki tua di gerainya pun sudah perlina. Aku memandang semula ke arah Dolah, seperti Khai dan lelaki separuh abad itu, Dolah juga sudah perlina daripada pandangan mataku.

Malam itu tiba-tiba sahaja kurasakan sunyi. Aku melihat keadaan sekeliling, tiada apa-apa yang berlaku. Keharuman bau bunga tanjung menusuk ke hidung. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja bulu romaku menegak, aku merasa seram sejuk. Aku segera berlalu pergi dari situ dengan meninggalkan seribu persoalan yang masih belum terjawab. Adakah apa yang telah berlaku adalah realiti kepada kehidupan atau sebaliknya?


* Hak cipta terpelihara. Harus diminta izin sebelum mengulang mana-mana bahagian.

Khamis, Ogos 20, 2009

Air Besar Sampan Tak Hanyut

Semalam, Tenuk pergi ke satu persembahan. Persembahan tu ada enam buah cerita dan setiap satunya dipersembahkan seputar 10-15 minit. Tenuk sebenarnya malas nak pergi ke sana tapi terpaksa juga pergi kerana dipaksa oleh Cerpelai. Cerpelai ada mengarah satu cerita dan yang tak sedapnya mahaguru kepada Si Tenuk, Mahaguru Tapir juga ada datang menyaksikan persembahan itu. Perasaan malu timbul dalam hati Si Tenuk kerana cerita yang disampaikan tidak begitu memuaskan hati Tenuk. Ini kerana, Tenuk yang buat cerita tu. Apa yang membuatkan Si Tenuk ini malu ialah apabila Mahaguru Tapir menegurnya bahawa cerita itu seperti air besar sampan tak hanyut.

Aku lalu tergelak melihat reaksi Si Tenuk...

HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHA...

Selasa, Ogos 18, 2009

Kuih Talam Yang Bertalam II

Kuih Talam semakin bertalam.

Itulah yang mampu untuk aku perkatakan. Talam semakin jauh meninggalkan kawan-kawannya yang lain termasuklah Kuih Seri Muka. Orang-orang bawahannya yang setalam dengannya semakin bangga dengan kekayaan yang mereka miliki. Ini kerana, semakin ramai pembeli yang meminati Kuih Talam. Kuih Seri Muka, Limas dan Tako semakin merasai diri mereka tersisih. Namun itu hanyalah perasaan mereka sahaja.

"Ini adalah permulaan kepada empayarku. Buat pertama kalinya, aku membentangkan kertas kerjaku betapa baiknya diriku ini di Oidar Neysivelet Aisyalam." Bicara Kuih Talam kepada Kuih Seri Muka, Limas dan Tako.

"Aku harap, dengan pembentangan kertas kerja yang telah aku persembahkan untuk dua hari, akan diterima hendaknya."

Kuih Seri Muka, Tako dan Limas hanya mencebikan muka. Dalam hati masing-masing menyumpah-seranah Kuih Talam.

Sebab pembentangan kertas kerja itu, Kuih Talam langsung tidak pergi ke kelas Pembuatan Adaptasi Dari Dirimu yang diajarkan oleh Nassah. Begitu juga dengan mesyuarat Kuih-kuih Sedunia untuk Penilaian Nuhat Rihka.

Begitulah kisah Kuih Talam yang semakin bertalam sehinggakan para penilai di Oidar Neysivelet Aisyalam di tipunya untuk berjaya mendapat tempat di situ.

HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHA...

Sabtu, Ogos 15, 2009

Bagai Menanti Air Hanyut

Hai! pawana dari gunung Siguntang,
bawalah pesanan kalbu ini ke gunung Bintang,
biar mengalir pesanan itu
dari sungai Perak,
singgah di sungai Kinta.

Biarlah pemuda gunung Ledang itu menanti...
bagai menanti air hanyut.

Ahad, Julai 26, 2009

Marah Yang Semakin Reda

"Woi, Pak Belang! Macam mana dengan kemarahan kau?"

"Kemarahan? Kemarahan apanya. Gajah?"

"Kemarahan kau dengan kumpulan AEH?"

"Tak jadi marah dah..."

"Kenapa?"

"Aku punya keputusan masih kekal di tahap 3.5 ke atas... jadi aku dah kurangkan aku punya marah dat dia orang tu."

"Ooo... gitu."

Isnin, Julai 20, 2009

Syahid Di Namrej

Suatu hari di Nedserd, Namrej. Seorang lelaki penduduk tempatan bernama W Xela telah menuduh jirannya sebagai seorang pengganas. Jirannya bernama Dr. Marwa El-Sherbeni, seorang rakyat Risem yang mengikuti suaminya atas tugasan tertentu. Ketika itu, W Xela telah cuba menarik tudung Dr. Marwa tetapi Dr. Marwa berjaya mengelak tudungnya dari terbuka.

Dr. Marwa telah menyaman malu lelaki tersebut dan dia telah menang kes itu di mahkamah. Tetapi malangnya lelaki yang bernama W Xela tidak berpuas hati dan telah meminta perbicaraan diadakan semula. Ketika itulah pembunuhan kejam berlaku di mana W Xela telah menikam Dr. Marwa sebanyak 18 kali. Suaminya cuba menolong tetapi ditembak sebanyak dua das tembakan. Dr. Marwa mati di situ jugak sementara suaminya berada di hospital dalam keadaan kritikal.

Kasihan anak Dr. Marwa yang berusia tiga tahun. Kejadian itu disaksi sendiri oleh anaknya itu. Apa yang pasti, lelaki itu tidak diapa-apakan. Kasihan, begitulah yang terjadi kepada orang Islam di tanah yang bukan diperintah oleh orang Islam. Kasihan, syahidlah Dr. Marwa...

Jumaat, Julai 17, 2009

Sarsar

Aku semakin sarsar...

Khamis, Julai 16, 2009

Makan dan Sejuk

"Marilah cipan... kita gi makan. Free je tu."

"Seganla... saya ni budak baru kat sini."

"Takyah segan-segan... kalau ko dah duduk kat sini anggap je semuanya macam keluarga." Bicara Gajah kepada Cipan.

Cipan baru kerja di Pusat Bahasa. Kerjanya begitu mudah dan hampir hari-hari asyik makan je.

"Sepatutnya... kau timbang berat badan dulu sebelum masuk kerja kat Pusat Bahasa ni." Kata Tenuk kepada Cipan.

Cipan hanya tersenyum. Begitulah kehidupan di Pusat Bahasa. Makan merupakan perkara asas di situ. Kalau tak ada makan, tak sah namanya. Dari sekecil-kecil mesyuarat hinggalah kepada majlis-majlis besar, senantiasa ada makan. Tapi biasalah, Si Cipan ni pemalu binatangnya. Jadi, makan pun, makan malu-malu la.

Tapi ada satu masalah yang sukar untuk Cipan ni biasakan dalam kehidupan di Pusat Bahasa. Cipan ni jenis binatang yang tak berapa sukakan sejuk sangat. Tidur pun dia tak suka kawan-kawannya pasang kipas (Hebat betullah binatang-binatang ni. Tidur pun pakai kipas. Macam orang kaya la pulak.) Tapi dekat Pusat Bahasa ni, dah macam kat London sejuknya. Memang Si Cipan ni tak boleh tahan langsung kat dalam Pusat Bahasa ni. Si Cipan ni dah rasakan macam nak jadi ais batu rasanya bila mula sahaja masuk tengah hari. Kenapa tengah hari? Ini kerana air condnya akan bertambah sejuk bila waktu tengah hari. Sejuknya akan bertambah sejuk bila dekat luar tu ada hujan turun.

"Aduh! Kalau hari-hari macam ni... jadi bekulah aku macam ais..."

Rabu, Julai 15, 2009

Sarsar Kerana Bayangan Sinarmu

Kenapa sukar bagiku untuk melupakan sinarmu? Sering terbayang di minda dan di fikiranku. Bagaimana harus aku luahkan kepadanya yang aku tahiri kepadanya? Sering sahaja sinarnya hadir di dalam lenaku. Tapi aku yakin yang aku kuawa untuk mengucapkan perkataan itu kepadanya.

Tolonglah Angin... tolonglah aku... sampaikanlah hasratku ini kepadanya. Aku semakin sarsar dengan bayangan yang sering muncul di fikiranku. Tidak terpemanai banyaknya aku teringatkan sinarmu.

Oh! Alkah Kenam Iaru

"Wahai Sang Hijau! Kau menang lagi..."

"Apa boleh buat... Sang Biru" Sang Hijau bersuara sambil tersenyum yang dipaksa.

"Tapi... kalau menang... tanah sendiri hampir tergadai buat apa?"

"Biar tanah tergadai tetapi maruah dijaga. Itu lagi azmat"

"Tak apa... pertarungan akan datang, akan aku sediakan ketumbukan yang lebih kuat dari ini." Balas Sang Biru.

"Kita tunggu dan lihat. Sudah lama kita berperang tetapi kawasan tadbir aku masih lagi utuh di sini. Walaupun sudah beberapa kali peperangan diadakan. Ada yang sengit dan ada juga yang begitu senang bagi aku, namun tetap juga aku yang berkuasa di kenam iaru. "

"Baiklah... alkah ini kau menang. Walaupun aku sudah mengerahkan hampir semua ketumbukan dari maghrib dan masyrik. Tetapi ingat... peperangan yang akan berlaku tiga tahun lagi akan aku berusaha untuk menawan kawasan kau. Bukan sahaja alkah ini, malah alkah-alkah yang lain juga akan aku tawan. Suruhlah camat-camat kau berhati-hati dan sediakanlah otar-otar di seluruh pemerintahan kau." Sang Biru bersuara lagi.

"Aku sudah lama bersedia," balas Sang Hijau dalam senyuman.

Sang Biru berlalu pergi meninggalkan Sang Hijau. Semua ketumbukan di bawah Sang Biru juga turut berlalu pergi. Walaupun kalah dalam peperangan ini, mereka tetap gembira kerana sudah hampir untuk mereka menguasai alkah kenam iaru. Tetapi adakah peningkatan yang ditunjukkan oleh ketumbukan yang diketuai oleh Sang Biru yang hampir menguasai salah sebuah alkah natnalik itu benar-benar sebuah ketumbukan yang kuat dan ampuh serta berjaya melemahkan semangat pahlawan-pahlawan Sang Hijau?

Adakah peperangan yang akan berlaku dalam tiga tahun lagi akan menunjukan bahawa rakyat natnalik sebenarnya sudah jemu dengan pemerintahan Sang Hijau? Hampir tewasnya ketumbukan Sang Hijau di tangan Sang Biru juga ada kena-mengena dengan rakyat di alkah kenam iaru. Ada sesetengah rakyat di situ yang membantu ketumbukan Sang Biru bagi mematahkan otar-otar yang ada di alkah kenam iaru.

Dengan segala apa yang berlaku, adakah Sang Hijau dan ketumbukannya akan bermuhasabah diri? Adakah mereka akan mencari punca kepada rakyat yang cuba memberontak dan membantu ketumbukan Sang Biru yang cuba menawan natnalik untuk sekian lamanya? Hanya tuhan yang tahu kesudahan peperangan yang akan berlaku yang memang tidak akan usai ini.

Selasa, Julai 14, 2009

Kama Beruk Jantan

Sang beruk termenung jauh. Memikirkan hatinya yang semakin buncah. Tidurnya tidak lagi lena. Otaknya sudah penat untuk bercanang. Selalu sahaja bayangan si betina menghantui dirinya.

Sang beruk semakin hari semakin rusuh hatinya. Bukan ego tetapi keyakinan dirinya yang menjadi penghalang. Biar selaksa atau seketi rintangan, akan dihadapinya. Namun hanya kerana keyakinan diri yang kurang untuk yang jauh, menjadikan Sang Beruk hanya mampu merindui bayangan sahaja dan berharap Sang Angin dapat menyampaikan maksud hatinya.



* Betul ke ada beruk macam ni?

Selasa, Jun 23, 2009

Kembali

Akhirnya aku kembali...

Selasa, Mei 05, 2009

WAN BANGSAT / BANGSAT KAU WAN

"Wan Bangsat..."
"Wan Bangsat..."
"Wan Bangsat..."

Begitulah kemarahan orang kampung kepada Wan. Sampaikan orang kampung menggelarkannya Wan Bangsat. Tetapi bukanlah dia yang bangsat tetapi kumpulan yang dia selalu lepak itulah yang membuatkan dia menjadi bangsat. Suatu hari dia dicaci dan dicerca.

"Wan Bangsat..."
"Wan Bangsat..."
"Wan Bangsat..."

"Woi! Bukan akulah yang bangsat tetapi kumpula AEH itulah yang bangsat... mereka itulah yang mengajar aku macam-macam."

Orang kampung tersentak mendengar rintihan Wan. Ya! Memang betul pun, kumpulan AEH itulah yang bangsat yang selalu menyusahkan penduduk kampung di situ. Nama sahaja kampung seni, tetapi bila buat kerja tak pernah berseni.

Ya! Ke?

Aku pun tak tahu...

Hahaha...

Ahad, Mei 03, 2009

Beruk Yang Sengal

Hatiku semakin buncah dan rusuh sementara fikiranku semakin ruwet. Apa yang harus aku lakukan. Adakah aku ni terlalu daif dengan apa yang berlaku sehingga sanggup aku mempercapakkan teguran-teguran mereka. Pada hal mereka cuba membantu aku. Lamun begitu mereka tetap setia mendengar rintihanku.

Katihku sering sahaja ingin pergi ke sana. Naluriku tidak pernah ugah walaupun sinarmu tidak dapat kumiliki. Hatiku tetap sali menantikan sinarmu. Aku mengharapkan sinarmu dapat menerangi dunia ini. Sinarmu tidak pernah perlina dari pandangan mataku walaupun kegelapan menerangi dunia ini. Aku akan ceratkan di hati ini bahawa hanya sinarmu yang akan berada di dunia ini. Aku amat mengharapkan, jemah, dunia ini berseri dengan kehadiran sinarmu.

"Woi! Kau tu dah la beruk... bercintalah dengan beruk.... Takkan nak bercinta dengan yang kau tak nampak tu? Bangang betul la."

"Kau tak boleh nak tengok aku senang kan," berkata Beruk kepada Cerpelai.

"Woi! Bangang, aku cuma tegur kau je... aku ni kan kawan kau. Aku takut... kalau-kalau nanti bila dahan tu sekah pun kau tak perasan. Nanti terjelepuk ke tanah, baru kau tahu. Majnun la kau jadinya nanti." Bidas Cerpelai pula.

Beruk hanya tersenyum. Dia mengerti maksud sahabatnya itu. Dia terasa dirinya bodoh. Lalu dia ketawa.

HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHA.....................................

Sabtu, Mei 02, 2009

Kuih Talam Dengan Skripnya

Kuih Talam berbicara dengan seorang rakan perempuan dalam interet. Sudah pukul dua pagi, tapi Kuih Talam masih belum tidur lagi. Kuih Seri Muka hanya menggelengkan kepalanya. Padanya Kuih Talam hanya membazirkan masanya sahaja bersembang dengan rakan-rakan yang ada di talian itu. Ini kerana Kuih Talam hanya bersembang kosong sahaja di internet. Ada masanya dia menyamar jadi lelaki dan ada masanya dia menyamar jadi prempuan. Sekarang ini Kuih Talam sedang menyamar sebagai lelaki.

"Baiklah, saya jadi buaya dan awak jadi kancil."

"Baiklah, saya setuju," kata perempuan itu.

Mereka terus bersembang sehingga pukul lima pagi. Kuih Talam langsung tidak rasa mengantuk sebaliknya lebih rasa seronok kerana dapat menyiapkan sesuatu.

"Saya nak makan awak boleh?"

"Mana boleh, kita ni kan berlainan bangsa," bicara perempuan itu yang menjadi kancil.

"Tak usah takut kancil. Aku ni buaya yang baik tau."

"Kalau macam tu... baiklah... aku sudi dimakan oleh kau."

Kuih Talam hanya ketawa sahaja kerana kerjanya sudah siap.

"Terima kasih kerana menolong saya menyiapkan kerja kursus saya." Bicara Kuih Talam kepada perempuan itu.

Perempuan itu memutuskan taliannya. Kuih Talam ketawa. Kuih Seri Muka terkejut dan dia segera melihat Kuih Talam.

"Kau dah kenapa... dah pukul 5.30 pagi ni... rehat-rehat kan la laptop tu," Kuih Seri Muka berbicara.

Kuih Talam hanya tersenyum. Kuih Talam terus mematikan laptopnya yang sebenarnya bukan laptopnya pun tetapi sekadar laptop tumpangan yang dijadikan seperti hak miliknya.

"Akhirnya... skrip aku siap juga. Nasib baik ada perempuan tu menolong aku." Kuih Talam berkata dengan sombongnya.

"Apa! Kau buat skrip dengan cara bersembang di internet? Biar betul... nak jadi apa dengan skrip kau tu nanti."

"Yang penting siap."

Kuih Talam terus merebahkan badannya ke tilam. Kuih Seri Muka hanya menggelengkan kepalanya.

"Macam ni punya orang pun ada ke?"

HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHA...

Selasa, April 21, 2009

Gajah Yang Kedekut

Suatu hari, Kancil, Pak Belang, Seladang dan Monyet mengadakan perbincangan. Mereka bercadang ingin mengadakan satu persembahan drama dan ingin menjemput semua penghuni hutan tidak kira sama ada di hutan ARAWSA atau di luar hutan ARAWSA datang menyaksikan persembahan itu. Namun mereka tidak cukup bajet untuk mengadakan persembahan itu.

"Apa kata kalau kita minta dari Gajah untuk bajet kita pada kali ini"

"Betul juga cakap kau tu Pak Belang. Gajahkan ketua kita di hutan ARAWSA ni... tapi siapa yang ingin berjumpa dengannya?" balas Kancil.

"Kau la Kancil. Bukankah kau yang paling pandai bercakap di kalangan kita," sampuk Monyet.

"Betul tu... aku sokong," sahut pula Seladang.

"Baiklah... aku akan pergi mengadap Gajah nanti."

Kancil pergi mengadap Gajah. Gajah memperkenankan persembahan itu diadakan dan Gajah juga berjanji akan mengeluarkan seberapa harta yang ada di hutan ARAWSA untuk persembahan itu. Kancil berjalan pulang dengan hati yang gembira.

Tiba hari yang dijanjikan. Segala peralatan sudah siap. Makanan juga disediakan oleh Gajah. Kancil, Pak Belang, Seladang dan Monyet berpuas hati. Walaupun peralatan yang diminta tidak berapa baik, namun mereka tetap berpuas hati. Tibalah waktu makan. Para pelakon berebut mengambil makanan.

"Apa ni... daging ni basi," bentak Ular.

"Sayur ni pun basi la," bentak Kambing pula.

"Dahlah bagi makanan pun sikit," Ayam pula bersuara.

"Macam la kat hutan ARAWSA ni dah tak cukup makanan. Kedekut betul la Gajah ni."

"Betul cakap kau tu Landak. Mentang-mengtang la dia ketua kat hutan ARAWSA ni..." Burung Hantu pula berkata.

Kancil, Pak Belang, Seladang dan Monyet hanya menggelengkan kepala. Mereka tidak mampu berkata apa-apa bila melihat keadaan itu. Mereka juga membenci Gajah kerana hal yang berlaku. Tapi apa yang dapat mereka lakukan. Gajah lebih berkuasa di hutan ARAWSA itu.

"Kalau macam ni... lebih baik kita namakan persembahan kita ni persembahan berdikari atau persembahan sendiri. Tak payah guna nama hutan ARAWSA."

"Aku setuju dengan cadangan kau tu Kancil," sokong Pak Belang.

Walaupun begitu persembahan itu tetap diteruskan. Persembahan itu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada penghuni hutan yang lain. Walaupun persembahan itu tidak seperti persembahan yang diharapkan, namun apa yang pasti persembahan itu tetap meriah.

HAHAHAHAHAHAHAHAHA... GAJAH YANG KEDEKUT... WOI! BUAT BENDA YANG TAK BERFAEDAH BOLEH PULA KELUARKAN DUIT... BODOH PUNYA GAJAH...

Jumaat, April 10, 2009

Lilin Yang Semakin Kelam

Suasana gelap ketika itu diterangi dengan cahaya Lilin. Dia terus membakar dirinya sendiri demi menerangi suasana gelap ketika itu.

"Demi kawan-kawan," itulah perkataan yang terkeluar dari mulut Lilin.

"Demi kawan-kawan ke atau demi menerangi hidup seorang puteri?"

"Kau jangan nak mengada-ngadalah," bentak Lilin kepada Angin. Angin hanya ketawa sahaja. Padanya, Lilin kelihatan bodoh kerana sanggup membakar dirinya sendiri demi menerangi hidup seorang puteri.

"Tak pa lah... biar aku sampaikan pesanan hati kau kepada tuan Puteri Hopi," ucap Angin kepada Lilin. Lilin memandang Angin dengan penuh sayu. Angin sahajalah tempat Lilin menyampaikan hasrat hatinya. Namun apakan daya, apinya semakin hari semakin mengecil dan tidak lama lagi pasti akan terpadam. Dia tidak mungkin lagi dapat menerangi hidup Puteri Hopi itu.

Semenjak Puteri Hopi tidak lagi kembali ke medan yang penuh berliku ini, cahaya yang dikeluarkan oleh Lilin semakin hari semakin kelam. Pada Lilin, buat apa dia menerangi lagi medan yang penuh berliku ini dengan cahayanya. Cahayanya hanya untuk Puteri Hopi. Memang Lilin mengetahui bahawa kawan-kawannya seperti Pelita, Kalimantang, Mentol dan Lampu Suluh mengetahui akan perubahan sikapnya itu. Tapi apakan dayanya, cahaya yang keluar darinya tidak mampu lagi menerangi medan yang penuh berliku itu.

"Angin... tolonglah aku... sampaikanlah isi hatiku ini kepada Puteri Hopi. Kalau tidak... pasti hidupku gelap walaupun pada realitinya aku mengeluarkan cahaya."

Apa yang pasti, Lilin tahu, akan ada kawannya yang akan mengutuknya jika kawannya itu tahu apa yang diucapkan olehnya pada Angin.

"Puteri Hopi... kaulah yang selama ini memberiku kekuatan dalam menerangi hidup ini."

Khamis, April 09, 2009

Pungguk Rindukan Bulan

PUNGGUK berbicara dengan dirinya...

"Lama aku menanti kepulanganmu... tak tertahan rindu di hati..."

Pungguk terus memandang bulan.

"Gelap hari-hariku... tanpa dirimu menerangi lagi... tak berdaya lagi menahan derita di hati menemukan hari."

"Bodoh la kau ni... setakat bertenggek je kat dahan ni... tak keluarkan hasil pun. Lebih baik kau pergi dekat Bulan tu... mana tau, mungkin dia perlukan pertolongan kau?" berkata Kelawar yang lalu di situ. Kelawar terus beredar dari situ sambil menggelengkan kepala. "Malas aku nak layan kau ni... angau je lebih... tapi tindakan tak ada...."

Pungguk hanya memandang sahaja Kelawar yang berlalu meninggalkannya. Dia terus memandang Bulan. Menunggu dan terus menunggu.

"Angau... angau juga... jangan sampai keje tak siap...."

Pungguk mencari-cari suara itu tapi tiada seekor binatang pun yang dilihatnya di situ. Siapakah yang bersuara itu? Pungguk terasa seram. Lalu dia berlalu pergi dari tempat dia bertenggek itu.

"Hahaha...," suara itu terus mentertawakan kebodohan Si Pungguk....

Selasa, April 07, 2009

Kuih Talam Yang Bertalam

Kuih Talam semakin suka melakukan sesuatu yang menyinggung perasaan kawan-kawannya. Kuih Seri Muka, Limas, Tako dan kuih-kuih lain juga semakin menyampah dengan Talam. Kuih Seri Muka semakin hari semakin terbakar hatinya dengan kata-kata Talam di mana padanya Talam tidak berfikir dahulu sebelum mengeluarkan sesuatu kalimat dari mulutnya. Namun mukanya tetap berseri-seri walaupun marah dan kerana itu jugalah namanya Seri Muka...

"Jadilah seperti aku, kawan-kawan... ikutlah cara aku... hidup kena bertalam... baru senang hidup...", kata Talam memulakan pidatonya. Seri Muka, Limas dan Tako sudah mula menggelengkan kepala sementara kuih-kuih yang lain hanya mendengar sahaja.

"Dia dah mula...", bisik Limas kepada Seri Muka dan Tako.

"Dengar je la...", Tako bersuara.

"Dengar sini kawan-kawan. Kalau kamu semua tidak menjadi seperti aku, macam mana kamu semua mahu hidup? Tengok aku, di sini aku lain, di sana aku lain. Di sana aku memuji, di sini aku mengeji. Di sini aku lambat, di sana aku cepat. Di sana aku kaya, di sini aku miskin. Di sini adalah aku, di sana bukan aku... hahaha", gelakkan Talam membuatkan kawan-kawannya semakin menyampah.

"Apa, kau ingat Nassah tak kenal kau yang sebenar ke?", bisik hati kecil Seri Muka...

Kuih Talam tiba-tiba hilang dari pandangan. Seri Muka terkejut. Rupa-rupanya Talam telah dibeli oleh Nassah, pembelinya yang setia yang sering ditipu oleh Talam dengan mukanya yang bertalam...

"Hahaha... Talam yang bodoh... akhirnya kau kena makan juga...".

Seri Muka terus ketawa menunggu nasibnya pula...

Isnin, Mac 30, 2009

Ranjang Mawar (WINGS)

Kerana dia aku menangis
Tanggalkan sisa kewarasan
Rela melepaskan kemudi di tangan
Di kala ribut gelora
Datang mendera samudera

Kerana dia aku menangis
Padamkan gaya dan perasaan
Sanggup memutuskan pertalian diri
Kepada selain dia yang kudamba

Ku tenggelam dalam rindu
Tidak berdasar dan bertepi
Ku terdampar dalam sendu
Tidak bernoktah dan berhuruf

Ku terkorban dalam cinta
Tak beralasan dari lembar
Satu lagi tak menjanjikan
Ranjang mawar yang ku mimpi

Ku mimpikan yang ku mimpi

Sabtu, Mac 28, 2009

Hati Matahari Yang Semakin Lemah

Matahari semakin resah. Dunianya semakin tidak betul. Bintang semakin menempelak kuat Matahari. "Kau bodoh, kau bodoh, kau bodoh, Hanya kerana Bulan, kau memperbodohkan diri kau".

Matahari tidak mampu berkata apa-apa. Sementara itu, Asteroid, kawan yang paling dibencinya, merupakan dalang kepada tersebarnya cerita bahawa Matahari semakin lemah. Kerana Bulan jugalah berlaku sedikit salah faham antara Matahari dengan Marikh, kawannya yang selalu menasihatinya dalam sindiran. Kerana Bulan jugalah, Matahari menyakiti hati Musytari, kawannya yang setia mendengar resah hatinya.

Kawan Matahari yang dikatakan paling cantik di kalangan mereka iaitu Zuhal, seperti memahami apa yang sering difikirkan oleh Matahari. Tetapi adakah Zuhal memahami apa yang sebenar-benarnya yang difikirkan oleh Matahari?

"Maafkan aku Musytari kerana menyakiti hatimu dan meragui persahabatan kita".

"Maafkan aku Marikh kerana kau tidak lagi melihat diri aku yang sebenarnya. Aku semakin lemah dengan ketiadaan Bulan".

"Kepada Zuhal, kau tidak mungkin dapat mengetahui apa yang bermain di fikiranku. Ini kerana kau tidak begitu rapat denganku walaupun kau antara yang cantik di kalangan kita".

Mampukah Matahari bertahan dengan ketiadaan Bulan. Matahari semakin hari semakin lemah. Kerjanya semakin tertangguh...

Jumaat, Mac 27, 2009

CINTA YANG TERPENDAM

Wajahmu indah
Senyummu manis

Setiap ku melihatmu
bahagialah hatiku
Setiap kali mendekatimu
hatiku selalu berdebar-debar

Dirimu bagaikan
bunga di taman yang
begitu indah dan menawan

Engkau bagaikan
putri yang baru turun
dari kayangan

Inginku selalu mendekatimu
Inginku selalu bersamamu

Tapi mengapa rasa ini
tak dapat ku ungkapkan
kepadamu

Mengapa setiap ku mendekatimu
hatiku selalu bergetar

Oh! Tuhan
andai kau memberikan
satu permintaan

Berikan
aku kekuatan untuk
dapat mengungkapkan
perasaanku kepadanya

Isnin, Mac 16, 2009

H.A.T.I

HATI yang merdeka ialah HATI yang bersih dari sifat mazmumah, HATI yang dilimpahi dengan sifat mahmudah, HATI yang sabar dengan ujian dan mehnah, HATI yang pemurah dengan nikmat, HATI yang syukur dan qanaah terhadap harta dunia, HATI yang takut terhadap dosa-dosa, HATI yang gerun dengan azab neraka dan HATI yang semacam inilah yang akan mencetuskan kedamaian dunia.

Mampukah aku memiliki HATI yang sedemikian...

Ahad, Mac 15, 2009

Kerinduan Matahari

Matahari semakin merindui Bulan. Matahari sering bertanya pada dirinya, "bolehkan aku merinduinya? Siapalah aku untuk merinduinya. Aku hanya tahu membahangi manusia sedangkan dia sering menjadi pujaan manusia".

Kerinduan Matahari terhadap Bulan semakin terasa semenjak beberapa minggu yang lalu. Dia tidak tahu mengapa kerinduan itu semakin menyiksa dirinya, namun apa yang pasti, kerinduan itu menyebabkan jiwanya menjadi kosong. Kekosongan jiwanya itu menyebabkan dia tidak mampu untuk melakukan kerja-kerjanya dengan sempurna. Badannya tidak membahangi manusia seperti dulu di mana sering sahaja hujan mengalahkannya dan itulah yang diingini oleh kebanyakkan manusia-manusia di Bumi.

"Oh, Bulan! Mengapa dikau tidak membalas kerinduan ini? Cukuplah hanya sekadar pesanan yang menjadi pengubat rindu di hatiku".

Begitulah hari-hari yang di nantikan oleh Matahari, menunggu pesanan daripada Bulan dan seperti hari-hari yang berlalu, tiada pesanan yang dihantar oleh Bulan dan rakan-rakannya seperti Bintang, Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto sering kali mempersendakannya. Yang paling dibenci Matahari ialah Asteroid di mana segala gurauan Asteroid betul-betul menyakiti hatinya.

Matahari hanya tahu menanti dan terus menanti kerana di hatinya tahu bahawa Bulan pasti bertemu dengannya...

Sabtu, Mac 14, 2009

Ratapan Roh

Dalam kegelapan, dia mencari jalan pulang. Kepulangannya disambut dengan air mata oleh keluarganya. Dia bertanya kepada si isteri "kenapa... kenapa kepulangan abang disambut dengan air mata?". Si isteri tidak menjawab, seperti si isteri tidak mendengar percakapannya. Dia pergi pula kepada si anak. Namun, seperti si ibu, si anak tidak menjawab dan seolah-olah si bapa tidak berada di situ. Tiba-tiba, dia menitiskan air mata. Matanya hanya mampu melihat sekujur tubuh yang sudah diselimuti dengan sehelai kain putih. Dia begitu kenal dengan wajah itu. Wajah itu begitu akrab dengannya. Jasad itulah yang membantunya untuk bertemu dengan keluarganya, rakan-rakannya dan paling utama tempat untuk dia menunaikan kewajipannya sebagai seorang insan. Dia meratapi pemergian sahabatnya itu. Dia berkata "aku belum bersedia untuk semua ini... aku belum bersedia... apakah aku mampu untuk berhadapan dengan-NYA?".

Isnin, Mac 09, 2009

Ijazahku... Kematianku...

Kini, lawon membaluti tubuhku,
aku hanya mempu memerhati.

Kini, jasadku dijulang tinggi,
air mataku mula bergenang.

Kini, jasadku disemadikan,
dan gemulahku hanya menunggu saatnya.

Kini, talkin mula kedengaran,
dhamirku mula gelisah menanti kedatangan mereka.

Kini, tiga langkah sudah berlalu,
mereka berdua sudah disisiku.

Namun, pertemuan itulah yang menentukan
ijazahku.

Ahad, Mac 08, 2009

Oh! Bahasaku

Apakah yang akan terjadi dengan bahasaku sepuluh tahun akan datang?

Dhamirku sering berkata demikian. Mana tidaknya, semenjak pembelajaran sains dan matematik ditukar kepada bahasa Inggeris, hatiku tidak tenteram. Aku juga seorang pelajar beraliran Sains semasa di sekolah dulu. Tidak menjadi masalah untuk aku memahami subjek itu. Namun, apa yang pasti, bahasaku seakan pupus oleh tangan pemimpin yang merosakkan bangsa dan bahasanya sendiri.

Sudahlah bahasaku sekarang ini sudah tidak digunakan dengan betul lagi. Kesopanannya juga semakin hilang oleh kerana penggunanya yang terlalu naif dengan bahasanya sendiri. Aku tidak boleh menyalahkan mereka, ini kerana, aku sendiri pun tidak mampu untuk menggunakan bahasa aku sendiri dengan betul kadang-kadang. Mana tidaknya, kesopanan dan kesantunan bahasa aku sudah lama tidak diguna pakai kecuali pada majlis-majlis rasmi. Aku selalu mengguna pakai bahasa-bahasa yang betul dalam percakapan dengan rakan-rakanku, namun, sebaliknya berlaku. Adakah patut mereka berkata yang aku ini terlalu skema. Kadang-kadang aku sendiri malu dengan bangsaku sendiri. Cuma satu sahaja yang aku ingin katakan...

Inikah bangsa yang dikatakan ADIWANGSA...

Semalam, 7hb. Mac. 2009, hari sabtu. Perhimpunan yang diharapkan dapat mengumpulkan seramai seratus ribu orang di Istana Negara menjadi kucar-kacir. Seramai lapan orang ditangkap kerana menimbulkan kekecohan. Perhimpunan ini sebenarnya hanya untuk memorandum agar PPSMI dapat dimansuhkan. SN A. Samad Said yang menyerahkan memorandum itu. Aku yakin, kekecohan yang berlaku pasti ada dalangnya. Aku tidak mahu menuduh sesiapa, tapi itulah yang bermain di mindaku.

Aku berfikir sedemikian kerana, perhimpunan ini pun sebenarnya telah dicabar sendiri oleh seorang Dato' Sri kelahiran Johor kepada pengerusi GAPENA Dato' Baha Zain. Adakah patut dia mencabar Dato' Baha Zain di mana kalau dapat mengumpulkan seramai seratus ribu orang, PPSMI akan dimansuhkan. Sedih aku mendengarnya, mana tidaknya, keturunan Dato' Sri ini sebenarnya antara orang yang memperjuangkan bangsa dan bahasanya sendiri. Namun, Dato' Sri itu sendiri tidak seperti datuk dan ayahnya. Nampaknya, kuah tidak tumpah ke nasi. Aku sendiri tidak tahu ke mana perginya kuah itu kalau tidak ke nasi...



TERKUBURNYA SEBUAH KERAJAAN

Sehelai kain putih menyelimuti
tubuh sang raja.
Sang Raja itu tiba-tiba diusung
ke satu tempat
yang tidak diketahui.
Hanya pahlawan yang setia
mengiringi Sang Raja yang diselimuti
kain putih.
Semuanya menangisi pemergian
Sang Raja itu.

Pahlawan yang setia,
tidak lagi memandang ke hadapan,
hanya darah mereka yang mengalir
ke bumi
mengikuti Sang Raja tadi
yang sudah terkubur.