Selasa, Julai 20, 2010

PERTANDINGAN BADMINTON - AKTIVITI KELAB PRONAMA




Tarikh : 17 Julai 2010

Masa : 8.30 malam

Hari : Sabtu

Tempat : SRJK (c) Foon Yew 4

Sabtu, Februari 27, 2010

Kasih Tidak Bersekutu Dengan Bijak

Suatu hari di hutan tropika...

Seekor ibu tapir marah-marah kepada anaknya tapir betina.

Ibu Tapir : Kenapa kau memilih babi hutan itu menjadi pasanganmu. Tiada lagikah bangsa kita yang secocok?

Anak Tapir : Kasihku sudah bertaut kepadanya ibu.

Ibu Tapir : Walaupun pasanganmu itu binatang yang pengotor?

Anak Tapir : Tiada buruk, tiada kotor pada pandanganku. Yang kulihat hanya kebaikan.

Anak tapir itu berlalu pergi bersama pasangannya babi hutan. Ibu tapir hanya mampu menangisi pemergian anaknya itu. Benarlah kasih itu tidak bersekutu dengan bijak.

Khamis, Februari 25, 2010

Email Daripada Rakan

Seorang rakan tiba-tiba mengutuskan email kepadaku. Aku buka dan membacanya.

Imam Ghazali : Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?

Murid-murid dengan serentak menjawab : Pedang

Imam Ghazali : Itu benar, tetapi yang paling tajam sekali di dunia adalah lidah manusia. Ini kerana, melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Namun mengikut ulama' terkenal di nusantara, Muhammad al-Qafi ibnu ilmi. Pengasas kepada tarekat Qafiyyah, berpendapat, bahawa keji dan mengejilah saudara sendiri jika itu sahaja jalan untuk membawa kepada perubahan daripada buruk menjadi baik.

Ruwet fikiranku apabila mendapat email daripada rakanku ini. Buncah untuk memikirkan tujuannya.

Selasa, Februari 23, 2010

Tiada Tajuk

Berbahasa pun salah
menyindir pun salah

Kononnya pandai menilai
tetapi kosong

Apa yang dilihatnya
luar atau dalam

Apa yang dicarinya
isi atau kulit

Tidak perlulah nak bertalam sangat
cukuplah sekadar yang perlu


*Sudah malas nak berlakon... tetapi menghomati... amat perlu.

Ahad, Februari 21, 2010

Oh! Malaysiaku

Malaysia...

Tergelak hatiku apabila memikirkan peristiwa hari ini. Mana tidaknya, Malaysia sebuah negara yang semakin meningkat tetapi masih lagi tidak diketahui oleh masyarakat dunia. Malaysia ada Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabang Kuala Lumpur dan Litar Sepang yang semuanya bertaraf dunia (kononnya) tetapi masih lagi orang luar tidak mengetahui di mana letaknya negara ini.

Bukannya aku ingin mempersoalkan kemajuan negara ini tetapi amat sedih apabila ada rakan-rakan daripada luar negara yang tidak mengetahui di mana duduknya negara Malaysia dalam peta dunia.

Seorang rakan yang baru aku kenali yang menetap di Sweden bertanya kepadaku di mana letaknya Malaysia dalam peta dunia. Aku pun membalas pertanyaannya itu dengan menyatakan bahawa Malaysia terletak dalam benua Asia. Mendengar penjelasanku, dia sedikit terkejut kerana amat jauh daripada negaranya. Aku hanya tersenyum. Begitu juga dengan seorang rakan baru dari Maghribi yang tidak mengetahui di mana negara ini berada.

Tetapi yang menariknya, Singapura sebuah negara yang kecil, jiran kepada Malaysia, mereka ketahuinya. Malaysia yang lebih besar dan berjiran dengan Singapura, tidak mereka ketahui. Adakah Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding Singapura daripada pelbagai segi? Atau hanya kita yang terasa Malaysia sudah dikenali di merata dunia?

Sabtu, Februari 20, 2010

Terima Kasih

Terima kasih dengan teguran

Terima kasih dengan nasihat

Terima kasih dengan cemuhan

Namun masih lagi engkau belum mengerti akan diri ini

Hanya lakonan pentas opera yang kau saksikan selama ini

Ahad, Februari 14, 2010

Rupanya Dia Juga Menulis

Sudah hampir sebulan aku mengenali Jarago dan aku tidak menyangka bahawa umurnya baru 15 tahun. Aku mengenalinya di tunngle (sebuah software untuk peminat-peminat game dari seluruh dunia berkumpul) dan Jarago ini merupakan orang Slovakia. Aku tidak menyangka umurnya baru 15 tahun kerana cara dia chatting dalam tunggle, kelihatannya seperti umur 20 tahun ke atas.

Itu semua tiada masalah padaku. Apa yang menarik minatku ialah dia juga suka menulis. Sekarang dia dah ada satu novel. Tajuknya Racing ang Snow. Terdapat 20 bab di dalamnya. Cerita komedi katanya. Tetapi dia kata itu hanya suka-suka. Dia tidak memasarkan buku itu. Dia tidak tahu sama ada novelnya itu bagus atau tidak.

Aku menasihatnya agar cuba memasarkan bukunya itu. Mana tahu nasibnya baik, Bukunya laris di pasaran. Budak 15 tahun sudah rajin buat novel...



* Aku sendiri pun masih malas nak siapkan novel yang patut aku siapkan. Itu baru untuk tugasan...

Ahad, Januari 31, 2010

Biarkanlah...

Petang semalam, ketika makan bersama dengan seorang SAHABAT yang sudah hampir tiga tahun tidak berjumpa, dia telah meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya mengenai suatu perkara kepadaku. Aku hanya mendengar dan mendengar...

SAHABAT : Aku sakit hati betullah dengan seorang budak ni. Dia asyik nak cari salah aku sahaja.

AKU : Siapa?

SAHABAT : Kawan aku di UM tu la... Dia asyik nak cari salah aku sahaja. Dia punya salah dia tak nak cari. Lepas tu nak heboh kat orang lain. Aku tahulah dia tu terbaik dalam bab mencari KEBENARAN dan JUJUR orangnya... kononnyalah...

AKU : Konon?

SAHABAT : Takkan ada manusia yang nak mengaku dia tu JUJUR dan terbaik.

Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata SAHABATku itu.

AKU : Biarkanlah sahaja, manusia suka membuat ukuran dan andaian. Aku sendiri pun macam tu juga, kadang-kadang suka menilai seseorang itu pada hal belum mengenali lagi orang itu. Biarkanlah sahaja kawan kau tu. Penat mulut, diamlah tu. Orang di sekeliling boleh menilai sendiri nanti.

Ahad, Januari 24, 2010

Musafir atau Peminta Sedekah?

Suatu hari seorang musafir datang ke rumah. Ingin tumpang berteduh, barang sehari dua katanya. Aku tidak kisah kerana apalah sangat untuk tumpang berteduh di teratak burukku. Namun, pada hari terakhir, dia meminta sesuatu daripadaku, meminta sesuatu yang sukar untuk aku berikan. Kepalaku mula berfikir "dia ni, musafir atau peminta sedekah?". Bukan aku tidak mahu memberikan apa yang diingininya, tetapi sedikit pelik bagiku, seorang musafir yang poketnya penuh tetapi masih lagi mahu meminta sedekah? Apa gunanya, poket yang penuh tetapi takut untuk melaburkannya?

Khamis, Januari 21, 2010

Pemain dan Pahlawan

Suatu hari seorang sahabat menegur...

"Dalam perlawanan atau peperangan, setiap pemain dan pahlawan adalah wira yang sedang tidur. Jadi, kalau nak menang, janganlah berani sangat untuk membangkitkan mereka daripada tidur itu".

Aku terpinga seketika.

"Tapi, kalau tak bangkitkan mereka daripada tidur, tiadalah cabarannya", balas sahabat itu lagi dan berlalu pergi meninggalkanku.